KUALA LUMPUR – Pelakon Mira Filzah menggesa orang ramai lebih peka dan tidak mudah terpedaya dengan konten media sosial terutama ketika penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) semakin menular hari ini.
Menurut Mira, peringatan tersebut disuarakan susulan pernah menjadi mangsa penyalahgunaan AI sehingga terhasil konten tidak sopan mengenainya.
“Bila saya jadi mangsa, saya ambil keputusan untuk tidak menghebohkan isu tersebut akan beri kesan besar sekiranya sudah diketahui umum.
“Jadi, saya memilih untuk buat laporan tanpa sebarang hebahan dan terus mendidik masyarakat agar lebih bijak menilai setiap kandungan media sosial sekali gus mengelak daripada menjadi mansa manipulasi AI,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis tayangan gala filem Akad Yang Hilang, di sini, semalam.
Mira menambah, dia juga bukan individu yang suka berkongsi kehidupan peribadi dalam media sosial melainkan berkaitan hal kerja.
Katanya, perkara tersebut disebabkan untuk mengelak dirinya terus menjadi mangsa manipulasi AI.
“Saya tidak berkongsi hantaran mengenai apa saja yang saya lakukan setiap hari termasuk buat laporan mengenai diri jadi mangsa AI.
“Syukur juga saya ada suami yang sangat membantu untuk buat laporan bagi membendung benda ini daripada terus menular dan merosakkan pemikiran masyarakat,” kongsinya.
Sebelum ini, Mira sering menjadi mangsa suntingan manipulasi foto tidak senonoh menggunakan teknologi AI yang difahamkan sejak tahun 2023.
Sementara itu, filem Akad Yang Hilang arahan Bahri Uma Bajuri turut membariskan nama hebat termasuk Idan Aedan, Syarul Ezani, Sherie Merlis, dan Aleza Shadan.
Filem terbitan Astro Shaw yang mengangkat isu nikah fasid dan bulis siber itu bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula esok. – KOSMO! ONLINE














