MADRID – Selepas mencipta sejarah dengan merangkul gelaran dunia MotoGP 2025, Marc Marquez kini memikul bebanan berat untuk mempertahankan kejuaraannya menjelang musim 2026.
Pelumba sensasi Sepanyol berusia 32 tahun itu mendominasi musim sulungnya bersama pasukan pengeluar Ducati tahun lalu, di mana Marquez mengesahkan gelaran dunia ketika saingan berbaki lima pusingan selepas merakam 14 kemenangan berturut-turut.
Bagaimanapun, kempen dominan Marquez berakhir dengan duka apabila mengalami kecederaan bahu akibat dirempuh Marco Bezzecchi pada Grand Prix (GP) Indonesia di Litar Mandalika memaksanya berehat dalam empat pusingan terakhir musim 2025.
Menjelang musim baharu 2026, Marquez sedar cabaran menantinya bukan calang-calang, terutama kebangkitan pencabar lain termasuk adiknya sendiri, Alex Marquez yang muncul naib juara tahun lalu.
“Aprilia sedang meningkat naik dengan mendadak, manakala KTM mempunyai Pedro Acosta. Honda pula semakin baik setiap masa, mereka sedang membina jentera terbaik, jadi saya perlu melakukan persiapan cukup baik.
“Matlamat utama untuk bertarung merebut kejuaraan. Itu menjadi sasaran saya dan ia secara tidak langsung meletakkan tekanan besar di bahu saya,” kata Marquez.
Marquez juga tidak menolak ancaman daripada Alex yang bakal memacu jentera spesifikasi kilang bersama Gresini musim ini.
“Anda boleh jangkakan apa sahaja menerusi Alex. Dia menamatkan saingan di tempat kedua musim lalu dan membuktikan dia adalah salah seorang pencabar utama kejuaraan.
“Malah, kelajuan Pecco (Francesco Bagnaia) tetap ada. Kadangkala tempoh dua bulan sudah cukup untuk pelumba seperti dia melakukan kebangkitan semula sepenuhnya,” jelasnya. – AGENSI














