fbpx
Salehuddin ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perutusan Pengerusi MAIS bagi tahun 2026 dan Pelancaran Buku Hala Tuju Kelestarian Hal Ehwal Islam Selangor 2025 di Shah Alam. Foto oleh AFIQ RAZALI/KOSMO!

MAIS kekal awasi aktiviti ‘Glamping With Pride’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM- Pemantauan akan diteruskan di lokasi ‘Glamping With Pride’ yang dikaitkan dengan komuniti Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) di Hulu Langat meskipun penganjur program itu telah membuat keputusan membatalkannya semalam.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, langkah itu bagi memastikan penganjur benar-benar mengotakan janjinya pada program yang sebelum ini dijadualkan diadakan pada Sabtu ini.

“Bila kita mengetahui bahawa ada kumpulan yang cuba mengadakan program sebegini, kita ambil tindakan untuk halang mereka.

“Pemantauan akan dibuat memastikan walaupun mereka mengatakan telah membatalkan program tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perutusan Pengerusi MAIS bagi tahun 2026 dan Pelancaran Buku Hala Tuju Kelestarian Hal Ehwal Islam Selangor 2025 di sini, hari ini.

Beliau berkata, MAIS serta polis sentiasa memantau aktiviti yang menyeleweng ajaran Islam di Selangor daripada dianjurkan.

Tegasnya, pihak majlis menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menegaskan segala aktiviti yang memesong agama harus diambil tindakan segera dan sewajarnya.

“Sekiranya ada tindakan yang bukan di bawah bidang kuasa MAIS, polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh mengambil tindakan dibawah peruntukan undang-undang masing-masing. Banyak jabatan lain juga sama-sama bertanggungjawab untuk memastikan gejala seperti ini tidak berlaku di negeri selamanya,” jelasnya.

Kosmo! semalam melaporkan selepas ditekan pelbagai pihak terma­suk ditentang keras oleh Sultan Se­langor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, program Glamping With Pride yang dirancang diadakan selama dua hari bermula Sabtu ini di Hulu Langat dibatalkan.

Penganjur program, Jejaka.org dalam satu kenyataan yang di­emelkan kepada Kosmo! berkata, pembatalan itu berikutan ancaman kese­lamatan serius dan menakutkan yang diterima pihak­nya sejak beberapa hari lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI