fbpx
Pengurusan kanan KPMB dan KPKPM dan pelajar kolej bergambar bersama selepas majlis penyampaian sumbangan di Cyberjaya hari ini.

KPMB sumbang RM15 juta bantu pelajar B40, asnaf KPKPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

CYBERJAYA –  Koperasi Pendidikan Malaysia Berhad (KPMB) memperuntukkan sebanyak RM15 juta sebagai dana pembiayaan pendidikan pada tahu ini untuk membantu 1,500 pelajar daripada golongan asnaf, anak yatim dan berpendapatan rendah (B40) melanjutkan pengajian dalam bidang keselamatan dan penyiasatan.

Peruntukan itu disalurkan menerusi kerjasama strategik antara KPMB dan Kolej Pengajian Keselamatan Penyiasatan Malaysia (KPKPM) sebagai usaha meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga. 

Pengerusi KPMB, SAC (R) Datuk Shamsudin Mat berkata, inisiatif pemberian biasiswa itu adalah untuk  memastikan lebih ramai pelajar berpeluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. 

“Pendidikan adalah pelaburan jangka panjang negara. Melalui inisiatif ini, kita dapat menyediakan laluan pendidikan yang mampan, berdaya saing dan berorientasikan kebolehkerjaan,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar hari ini.

KPKPM menyediakan latihan berorientasikan industri, berteraskan keperluan sebenar pasaran kerja serta kehendak keselamatan negara. 

Antara program pengajian dan latihan yang ditawarkan KPKPM termasuklah Diploma Kepolisan, Diploma Imigresen dan Kawalan Rentas Sempadan, Diploma Anti-Rasuah dan Tadbir Urus, Diploma Penguatkuasaan Undang-Undang serta Sijil Kemahiran Malaysia Operasi Perkhidmatan Sekuriti. 

Shamsudin menjelaskan, melalui program pendidikan di bawah KPKPM, ia dapat membantu meningkatkan kefahaman undang-undang, sekali gus mengurangkan risiko berlakunya penyalahgunaan kuasa dalam pelaksanaan tugas penguatkuasaan.

Setiap pelajar kategori asnaf dan anak yatim akan menerima pembiayaan sebanyak RM16,450 atau 50 peratus daripada yuran pendaftaran dan yuran pengajian peringkat diploma, sekali gus membolehkan mereka memulakan pengajian tanpa sebarang bayaran awal kepada kolej.

Pelajar daripada kumpulan B40 pula, hanya perlu membayar sebanyak RM2,900 kepada kolej sebagai pendaftaran dan akan mendapat 30 peratus pembiayaan dari pihaknya. 

Selain itu, jelasnya, koperasi itu juga sedang berada di peringkat akhir perancangan untuk menyediakan kemudahan kredit atau pinjaman mudah kepada anggotanya yang memerlukan bantuan menyokong keperluan pendidikan anak-anak mereka. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI