KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan mengeluarkan lesen kebenaran bagi menjalankan aktiviti mendulang emas bermula Rabu depan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, rakyat yang memiliki lesen itu boleh menjalankan aktiviti mendulang emas secara sah di sungai-sungai yang telah diwartakan.
Katanya, setakat ini, kerajaan negeri sudah menerima sebanyak 332 permohonan bagi fasa pertama lesen mendulang emas.
“Daripada jumlah itu, 178 pemohon sudah membuat pembayaran manakala selebihnya dalam proses penelitian. Alhamdulillah, sambutan terhadap aktiviti mendulang emas amat menggalakkan.
“Semua pemegang lesen mendulang emas diingatkan supaya sentiasa mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan yang dikepilkan bersama dokumen kelulusan lesen masing-masing,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Mohamed Fadzli memberitahu, pegawai penguat kuasa kerajaan negeri akan membuat pemantauan terhadap aktiviti mendulang emas.
Menurutnya, pendulang emas berlesen bebas untuk mendulang di lokasi yang telah diwartakan, namun tidak boleh mengamalkan budaya ‘cop’ kawasan.
“Lokasi yang dibenarkan itu adalah tanah kerajaan dan ia adalah peluang kepada semua rakyat Kelantan. Semua pihak perlu mematuhi syarat-syarat tersebut termasuk aspek keselamatan kerana ia ditetapkan bagi menjamin keselamatan orang awam semasa mendulang emas,” ujarnya.
Mohamed Fadzli berkata, lima kawasan sungai diwartakan bagi fasa pertama adalah sepanjang 4 kilometer (km) Sungai Tadoh di Jeli, masing-masing sepanjang 2 km di Sungai Gentiang (Kuala Krai), Sungai Galas (Gua Musang), Sungai Bertam (Tanah Merah) dan Sungai Pergau (Jeli).- KOSMO! ONLINE














