PETALING JAYA – Dua syarikat didapati terlibat dalam kartel penipuan bida bagi Tender Pembinaan Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (CSR) bernilai RM285 juta yang dikeluarkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya telah mengeluarkan Keputusan Cadangan terhadap kedua-dua perusahaan berkenaan hasil siasatan yang dijalankan.
Menurut MyCC, siasatan mendapati syarikat terbabit disyaki melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 [Akta 712] melalui penglibatan dalam perjanjian dan pakatan berkaitan penyediaan serta penyerahan bidaan tender tersebut.
“Perusahaan-perusahaan tersebut didapati telah bersetuju untuk terlibat dalam perkongsian maklumat yang diselaraskan dan pakatan dalam penyediaan serta penyerahan bidaan mereka.
“MyCC mendapati bahawa perjanjian sedemikian mempunyai objektif untuk menghalang, menyekat atau mengekang persaingan secara ketara berhubung dengan perolehan awam berkaitan Tender CSR,” kata kenyataan itu.
MyCC bagaimanapun berkata, keputusan cadangan yang dikeluarkan ketika ini merupakan dapatan awal.
“(Keputusan cadangan ini juga) ia tidak boleh dianggap bahawa perusahaan-perusahaan ini telah melanggar Akta 712 secara konklusif,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














