KUALA TERENGGANU – Seorang jurujual dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu di sini hari ini atas tuduhan berpakaian dan menyerupai perempuan tahun lalu.
Tertuduh, Mohd. Lukman Mohamad Aludin, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Syarie Hamidi Shafie.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa memakai pakaian dan berkelakuan seperti perempuan di tempat kerjanya di tingkat empat, KTCC Mall di sini pada pukul 4 petang, 12 Mei 2025.
Dia didakwa mengikut Seksyen 33 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.
Mahkamah membenarkan Mohd. Lukman dibebaskan dengan jaminan RM3,000 bersama dua penjamin. Sementara itu, Mohd. Lukman yang dipercayai tidak berpuas hati menunjukkan isyarat lucah kepadap petugas media yang membuat liputan ketika keluar dari kamar mahkamah. – KOSMO! ONLINE














