fbpx
PELAKON Gufran mengakui pernah berdepan cubaan gangguan seksual di lokasi penggambaran sewaktu masih kanak-kanak.

‘Gangguan seksual terhadap pelakon kanak-kanak memang wujud’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kecoh isu seorang pelakon mendakwa pernah diliwat pengarah ketika zaman kanak-kanak, aktor Firdaus Ghufran mengakui pernah berdepan situasi hampir sama, namun bernasib baik kerana berjaya mengelak cubaan tersebut.

Firdaus atau nama sebenarnya Muhammad Firdaus Ghani Ghufran, 24, bagaimanapun memilih untuk tidak mendedahkan identiti individu terlibat, sebaliknya menegaskan perkara sedemikian sememangnya wujud dalam industri hiburan.

“Dalam kalangan orang lain, perkara itu memang pernah berlaku. Saya sendiri hampir mengalaminya, tetapi tidak sampai terkena apa-apa. Mungkin individu tersebut menghormati saya.

“Benda ini ada. Semua itu memang wujud. Berlaku. Cuma bukan kepada saya. Hampir terjadi, tetapi saya dapat elak. Saya sempat menepis,” katanya kepada Kosmo! Online.

Sebagai pelakon yang bermula sejak usia kanak-kanak, bintang drama Sekam Di Dada itu menegaskan pemantauan rapi keluarga menjadi benteng utama dalam melindunginya daripada perkara tidak bermoral.

“Keluarga saya sentiasa memantau hal-hal melibatkan unsur seksual kerana kami tahu isu ini sangat serius apabila membabitkan kanak-kanak. Itu sudah masuk kategori pedofilia.

“Sebab itu saya ingin pesan kepada ibu bapa yang membawa anak ke dunia lakonan, jaga anak kamu betul-betul. Tolong jaga anak-anak kamu.

“Ada orang sanggup buat perkara sangat kotor pada satu-satu masa tanpa memikirkan kesan masa depan. Tapi saya percaya, karma itu wujud. Karma sangat nyata,” ujarnya ketika sidang media filem Mak #SalamDariSyurga, di sini, malam tadi.

Menurut Firdaus, golongan pelakon kanak-kanak dan bakat baharu sering menjadi sasaran kerana masih polos serta tidak memahami selok-belok industri.

“Budak-budak baharu masuk industri, mereka tidak tahu apa-apa. Mereka masih kosong. Kenapa sanggup buat perkara sebegitu kepada mereka? Kasihan.

“Mereka ada kehidupan, ada ibu bapa, ada keluarga. Perbuatan tidak waras seperti itu memang tidak wajar langsung,” luahnya.

Tambahnya, isu kesetiaan atau ‘loyalty’ dalam industri turut membuka ruang kepada salah guna kuasa apabila ada pihak cuba mengikat seseorang secara melampau.

“Semua orang nak cari makan. Apabila kesetiaan terikat kepada satu pihak, di situlah masalah bermula.

“Ada orang bebas datang dan pergi, tetapi ada juga yang tersepit dan tidak mampu berbuat apa-apa,” jelasnya.

Sebelum ini, seorang pelakon tampil membuat pendedahan mengejutkan mendakwa pernah diliwat seorang pengarah ketika zaman kanak-kanak sewaktu aktif berlakon demi membantu menyara keluarga.

Menurut pelakon berkenaan, meskipun memilih berdiam diri selama bertahun-tahun demi menjaga hubungan kekeluargaan, trauma serta dendam akibat kejadian itu masih menghantui kehidupannya hingga kini. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN