MADRID – Xabi Alonso sah meninggalkan Real Madrid selepas kurang lapan bulan mengemudi pasukan itu apabila kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk menamatkan kerjasama dengan Alvaro Arbeloa diumumkan sebagai ketua jurulatih baharu.
Keputusan drastik itu dibuat sejurus kekalahan memalukan kepada seteru tradisi, Barcelona dalam aksi final Piala Super Sepanyol di Jeddah, Arab Saudi sekali gus menamatkan spekulasi mengenai masa depan Alonso di Santiago Bernabeu.
“Real mengumumkan melalui persetujuan bersama antara kelab dan Xabi Alonso, tempohnya sebagai jurulatih pasukan utama telah berakhir.
“Alonso akan sentiasa menerima kasih sayang dan penghargaan seluruh pasukan kerana beliau adalah legenda Real dan sentiasa mewakili nilai kelab ini,” menurut kenyataan Real.
Alonso berada di bawah tekanan sejak hujung tahun lalu susulan prestasi tidak konsisten termasuk kekalahan kepada Barcelona, Liverpool dan Manchester City dalam saingan Eropah, selain tewas kepada Atletico Madrid serta Celta Vigo di La Liga.
Real yang menamatkan musim lalu sebagai naib juara La Liga, kini ketinggalan empat mata di belakang Barcelona, sekali gus meningkatkan desakan terhadap pengendali muda itu.
Alonso yang dilantik pada Mei lalu menggantikan Carlo Ancelotti, tiba dengan reputasi tinggi selepas membawa Bayer Leverkusen menjuarai Bundesliga 2024 tanpa tewas, namun magis itu gagal diterjemahkan sepenuhnya di Madrid.
Kejayaan terbesar Alonso bersama Los Blancos musim ini adalah kemenangan 2-1 ke atas Barcelona pada Oktober lalu tetapi Real hanya menang dua daripada lapan perlawanan berikutnya dalam semua kejohanan.
Sebagai pengganti, Real memilih Arbeloa, bekas pertahanan kelab dan juga rakan sepasukan Alonso di Liverpool yang sebelum ini mengendalikan pasukan remaja Real, Castilla.
Pelantikan Arbeloa dilihat sebagai pertaruhan baharu bagi menstabilkan prestasi pasukan yang sedang bergelut mempertahankan status mereka di pentas domestik dan Eropah. – AGENSI














