KUALA LUMPUR – Kejayaan skuad futsal di pertandingan antarabangsa dengan melayakkan diri ke Piala Asia 2026 dan meraih pingat gangsa di Sukan SEA, baru-baru ini mula mendapat perhatian daripada pelbagai pihak.
Terbaharu, penjaga gol futsal negara, Muhammad Syaifuddin Syukri Ibrahim Lincoln memperoleh penghargaan khas pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Dr Johari Abdul.
“Penghargaan khas diberikan kepada saudara Muhammad Syaifuddin Syukri Ibrahim Lincoln, Pegawai Parlimen Malaysia, atas kejayaan mengharumkan nama negara dengan meraih pingat gangsa acara futsal Sukan SEA, membuktikan kecemerlangan warga Parlimen merentas bidang perkhidmatan dan sukan di peringkat antarabangsa,” menurut perkongsian Parlimen Malaysia di laman media sosial rasmi.
Muhammad Syaifuddin yang kini sedang berada dalam kem latihan futsal negara menjelang Piala Asia 2026, hujung bulan ini akui terharu dengan penghargaan ini dan ia mampu dijadikan suntikan semangat untuk terus berbakti kepada negara.
“Saya bersyukur dan berterima kasih khususnya buat Dato Dr Ahmad Husaini Abd Rahman, Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia atas penghargaan yang diberikan dan sokongan serta dokongan kepada saya serta rakan sepasukan lain. Sudah pasti ia akan beri semangat tambahan kepada saya untuk terus menyumbang kepada pasukan futsal negara.
“Namun fokus saya sekarang pastinya untuk menyiapkan diri bagi memastikan pasukan negara berada pada prestasi terbaik pada Piala Asia dan pada masa yang sama memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada Parlimen Malaysia sebagai anggota penjawat awam nanti,” katanya.
Di Piala Asia 2026 nanti, skuad futsal Harimau Malaya diundi dalam Kumpulan D bersama jaguh utama Asia, Iran, Afghanistan dan Arab Saudi. – KOSMO! ONLINE














