fbpx
Soon Ying (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh atas tiga pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM10,000 kepada ejen TNB pada 2021 dan 2022.

Beri suapan RM10,000, peniaga mengaku tidak bersalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan memberi rasuah RM10,000 kepada ejen syarikat pembekalan tenaga elektrik pada 2021 dan 2022.

Tertuduh, Tiang Soon Ying, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa memberi suapan berjumlah RM4,000, RM3,000 dan RM3,000 kepada ejen tersebut sebagai dorongan untuk lelaki tersebut tidak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 37, Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447).

Di bawah kesalahan itu, tertuduh didapati telah mengganggu, mengambil dan menggunakan elektrik termasuk merosakkan pepasangan milik syarikat tenaga elektrik bagi aktiviti perlombongan mesin bitcoin di 10 premis berasingan di sekitar Johor Bahru.

Bapa kepada empat anak itu didakwa melalukan kesalahan tersebut di Taman Samudera Seri Manjung dalam daerah Manjung, Sungkai di Batang Padang dan Ipoh di Kinta antara 4 November 2021 hingga 19 Januari 2022.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Sharul Azuan Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam, Hong Chong Hang.

Terdahulu, Sharul Azuan mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan berserta syarat tambahan, melapor diri ke pejabat SPRM pada setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, Chong Hang memohon mahkamah mengenakan jumlah jaminan yang minimum memandangkan anak guamnya perlu menanggung isteri dan empat anak yang masih bersekolah.

Hakim Meor Sulaiman kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM18,000 bersama seorang penjamin selain perlu melapor diri di Pejabat SPRM Manjung setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah juga menetapkan 18 Mac depan untuk tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI