JEMPOL – Seorang lelaki ditangkap polis selepas didapati mengajar serta memaksa anak lelakinya berusia 10 tahun mencuri di beberapa premis perniagaan di sekitar daerah ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden R. Premkumar berkata, perkara itu terbongkar susulan kejadian kecurian terbaharu yang dilaporkan oleh penyelia sebuah pasar raya pagi tadi.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 pagi itu, kanak-kanak berkenaan telah didapati mencuri satu paket nescafe seberat 200 gram atas
arahan bapa kandung berusia 34 tahun.
“Siasatan awal polis mendapati suspek sering mengarahkan serta memaksa anak sulung mencuri barangan keperluan harian seperti milo dan lain-lain di beberapa premis perniagaan sekitar Bahau dan Batu Kikir. Jika enggan, suspek akan memarahi dan mengugut mencederakan mangsa. Mangsa mengalami penderaan emosi dan penganiayaan oleh bapa kandung sendiri supaya melakukan jenayah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Premkumar berkata, semakan mendapati suspek mempunyai tujuh rekod kesalahan jenayah dan dadah termasuk kesalahan di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak dan selain satu rekod `wanted’ pada tahun 2021.
Menurutnya, kanak-kanak berkenaan telah diserahkan kepada ibu kandungnya, manakala suspek bakal direman esok di Mahkamah Majistret Jelebu dan dua kertas siasatan dibuka secara selari dibawah Seksyen 380/109 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – KOSMO! ONLINE














