fbpx
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jasin, hari ini.

Bapa didakwa pukul anak guna topi keledar geram tak jawab telefon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JASIN – Seorang pemotong sawit didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memukul anak perempuannya menggunakan topi keledar dipercayai gara-gara geram remaja itu tidak menjawab panggilan telefonnya, Disember lalu.

Tertuduh, K. Regunathan, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera kepada anak perempuannya berusia 15 tahun menggunakan sebuah topi keledar yang mana adalah merupakan senjata untuk memukul.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 2 pagi di ruang tamu rumahnya di Taman Ayer Merbau, dalam daerah Jasin pada 13 Disember lalu.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada seksaan tersebut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A.

Difahamkan, tertuduh bertindak memukul anaknya itu kerana geram remaja berkenaan tidak menjawab panggilan telefonnya pada malam kejadian.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohamad Yusri, mencadangkan jaminan sebanyak RM11,000 dikenakan terhadap tertuduh berserta syarat tambahan tidak mengganggu saksi dan mangsa iaitu anaknya selain melapor diri di balai polis berhampiran.

Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan tertuduh hanya meraih pendapatan harian sebanyak RM40 sebagai pemotong sawit dan mempunyai tanggungan keluarga yang ramai.

Katanya lagi, anak guamnya yang mempunyai tujuh anak berusia antara 24 dan 16 tahun itu perlu menanggung tiga anak yang masih bersekolah, isteri serta tiga cucu, selain tertuduh mengalami retak tulang punggung akibat kemalangan.

Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM4,000 serta tidak mengganggu mangsa dan saksi sehingga kes selesai. Mahkamah turut menetapkan tarikh 4 Februari ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI