PASIR PUTEH – Tindakan pantas anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh berjaya menyelamatkan seorang lelaki bersama anak perempuannya daripada cubaan terjun ke dalam Sungai Semerak di Tok Bali di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tok Bali, Azrul Azmeri Che Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum pasukan bomba bersama sebuah jentera Balai Bomba dan Penyelamat Tok Bali bergegas ke lokasi kejadian.
“Semasa tiba di kawasan sungai itu, mangsa sudah diselamatkan oleh pihak polis sebelum ketibaan anggota bomba. Kes berkenaan diserahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut yang melibatkan seorang lelaki dan kanak-kanak perempuan.
“Pihak polis sedang menyiasat punca kejadian dan masalah yang dihadapi lelaki berkenaan,”katanya. – KOSMO! ONLINE














