JOHOR BAHRU – Polis Johor berjaya menumpaskan 42 sindiket pengedaran dadah sekaligus seramai 138 ahlinya diberkas sepanjang tahun lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, sepanjang tempoh Januari hingga Disember tahun lalu, pihaknya berjaya membuat rampasan pelbagai jenis dadah seberat 3.34 tan.
Katanya, rampasan itu melibatkan nilai keseluruhan berjumlah RM176.33 juta sekaligus meletakkan Johor negeri keempat tertinggi rampasan dadah seluruh negara.
“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor turut berjaya menahan seramai 26,429 orang atas pelbagai kesalahan dadah.
“Hasil operasi yang dijalankan, rampasan dadah bernilai RM156.30 juta berjaya dilakukan selain sitaan pelbagai aset sindiket dadah dianggarkan bernilai RM5.54 juta,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Peringkat Kontinjen Johor Bagi Bulan Januari di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Ab Rahaman berkata, pada masa kini, kadar jenayah komersial menunjukkan trend peningkatan yang amat membimbangkan, khususnya melibatkan kes penipuan dalam talian yang menggunakan pelbagai modus operandi.
Katanya, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Johor telah menjalankan pelbagai usaha pembanterasan secara menyeluruh, termasuk melaksanakan operasi khas bagi menumpaskan sindiket ‘calling centre’ yang menjadi nadi kepada kegiatan penipuan.
Tambahnya, sepanjang tahun lalu, JSJK Johor telah membuat serbuan di 38 premis yang dijadikan ‘calling centre’ oleh sindiket-sindiket penipuan seperti penipuan pelaburan, phone scam, tawaran pekerjaan sambilan dan pinjaman tidak wujud.
“Seramai 234 individu telah ditangkap dan pelbagai peralatan yang digunakan memperdaya mangsa turut dirampas. Daripada jumlah itu, 106 individu telah dituduh di mahkamah atas pelbagai kesalahan.
“Tindakan tegas ini mencerminkan komitmen berterusan PDRM dalam memastikan jenayah komersil dapat dibendung selain mengambil pelbagai inisiatif secara berterusan melalui program pencegahan dan aktiviti kesedaran bagi memberi pendedahan kepada masyarakat tentang taktik dan modus operandi scammer,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE














