LESMO – Yamaha disaran bersiap sedia menghadapi kemungkinan hilang Fabio Quartararo selepas bintang utama itu dianggap antara pelumba paling ‘bernilai’ dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2025 meskipun menunggang jentera yang jauh ketinggalan dari segi prestasi.
Quartararo mencuri tumpuan musim lalu apabila berjaya menempatkan diri di hadapan semua pelumba Honda, beberapa jentera KTM dan Aprilia meskipun Yamaha M1 dilabel jentera paling lemah di grid.
Lebih mengagumkan, bekas juara dunia itu meraih jumlah petak utama sama seperti gabungan keseluruhan pelumba Honda, KTM dan Aprilia, malah hampir menghadiahkan kemenangan di Silverstone sebelum jenteranya mengalami kegagalan teknikal.
Namun, dalam kedudukan keseluruhan pengeluar, sumbangan besar Quartararo hanya cukup untuk mengangkat Yamaha di tempat kelima, realiti pahit yang menguatkan persepsi bakat luar biasanya semakin ‘terbuang’ dalam projek yang masih belum stabil.
Situasi itu turut mengheret tekanan luar trek apabila pelumba Perancis itu mengkritik prestasi jentera dan hala tuju pasukan, meskipun sering disampaikan dalam nada tenang dan berlapik.
Ketua pasukan Yamaha, Paolo Pavesio mengakui kekecewaan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, namun menegaskan emosi negatif tidak akan membantu mempercepatkan kebangkitan pasukan.
“Apabila anda terlalu inginkan keputusan, kekecewaan itu memang wujud. Itu normal bagi pelumba, jurutera atau pengurus. Tetapi kekecewaan tidak menghasilkan tenaga positif. Ia tidak membantu sesiapa,” kata Pavesio.
Beliau menegaskan Yamaha kini lebih memberi fokus untuk menyatukan pasukan dan membina semula keyakinan menjelang era baharu MotoGP, selain percaya pendekatan positif lebih berkesan daripada tekanan.
Dengan kontrak Quartararo tamat hujung 2026 dan Yamaha sendiri tidak terdesak mengikat pelumba untuk jangka panjang, kegagalan projek V4 boleh membuka ruang kepada perpisahan besar yang berpotensi mengubah landskap MotoGP. – AGENSI














