SHAH ALAM – Representasi seorang anggota polis bagi mengkaji semula pertuduhan membunuh graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah, dua tahun lalu, ditolak oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Maizatul Munirah Abdul Rahman pada sebutan semula kes itu di hadapan Hakim Adlin Abdul Majid.
“Justeru, kami memohon tarikh bicara daripada Yang Arif. Seramai 20 orang saksi akan dikemukakan dengan perbicaraan akan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kanan,” katanya.
Sejurus itu, Peguam Aida Jaafar Mad Ariff mewakili tertuduh, Lans Koperal Muhammad Alif Monjani, 28, kemudiannya memohon tempoh 14 hari bagi perbicaraan berkenaan selain akan turut menghantar representasi kedua dalam masa terdekat bagi meneliti semula permohonan sebelum ini.
Hakim Adlin kemudiannya menetapkan tarikh 16, 17,18,19, 23, 24, 25, 26 dan 30 November selain 1, 2, 3, 7 serta 8 Disember depan.
Mahkamah turut menetapkan pengurusan kes bagi mendengar keputusan representasi kedua pada 7 April depan.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Alif didakwa telah menyebabkan kematian terhadap Nur Farah Kartini , 26, (umur sewaktu kejadian) di Ladang SKC, Kledang, Mukim Hulu Bernam antara pukul 9 pagi, 10 Julai hingga pukul 6 petang pada 15 Julai 2024.
Justeru pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE














