SUBANG JAYA – Polis mengesahkan menerima laporan kejadian perselisihan faham jalanan susulan penularan sebuah video tular dari rakaman papan pemuka (dashcam) sebuah kenderaan yang memaparkan tindakan pemanduan secara gopoh serta perbuatan menghalang laluan di sekitar Subang Jaya pada 27 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, laporan insiden itu diterima pada Ahad lalu.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati seorang lelaki memandu Ferrari secara berbahaya dengan mengekori pengadu, memberhentikan kenderaan serta menghalang laluan sehingga berpotensi membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.
“Insiden berkenaan dipercayai berpunca daripada salah faham ketika memandu. Suspek juga dilaporkan telah membuat permohonan maaf melalui media sosial susulan penularan video terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, seorang suspek tempatan berusia 33 tahun telah hadir menyerah diri dan rakaman percakapan telah diambil bagi membantu.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 279 dan 341 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi IPD Subang Jaya di talian 03-7862 7100 atau Pegawai Penyiasat, Sarjan Rozaimi Ramli di 012-394 5718. – KOSMO! ONLINE














