KUALA LUMPUR – Selepas ditekan pelbagai pihak termasuk ditentang keras oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, program Glamping With Pride yang dirancang diadakan selama dua hari bermula Sabtu ini di Hulu Langat dibatalkan.
Penganjur program, Jejaka.org dalam satu kenyataan yang diemelkan kepada Kosmo! berkata, pembatalan itu berikutan ancaman keselamatan serius dan menakutkan yang diterima pihaknya sejak beberapa hari lalu.
Katanya, situasi keselamatan berubah secara drastik selepas kenyataan awal dikeluarkan pada 9 Januari lalu apabila pemilik lokasi membatalkan tempahan atas faktor keselamatan, selain penganjur turut menerima ancaman termasuk ugutan bunuh dan keganasan melalui media sosial.
“Ancaman-ancaman ini telah didokumenkan dan akan dirujuk kepada pihak berkuasa melalui laporan polis,” katanya.
Kenyataan itu mendakwa, pembatalan program tersebut bukan disebabkan aktiviti rekreasi berkenaan menyalahi undang-undang, sebaliknya berpunca daripada keadaan semasa yang dicetuskan oleh retorik tidak bertanggungjawab, kecelaruan maklumat serta momokan ketakutan sehingga keselamatan nyawa menjadi taruhan.
Menurut kenyataan itu, sebelum isu itu disensasikan, hanya 14 peserta berdaftar menyertai program berkenaan, namun dalam tempoh beberapa hari, kira-kira 50 individu menyatakan minat untuk menyertai program pendidikan kesihatan tersebut.
“Akibat ketakutan dan kepanikan yang tercetus, kesemua individu ini kini kehilangan ruang selamat untuk berkumpul dan mempelajari isu kesihatan dalam suasana alam semula jadi. Inilah kesan sebenar stigma dan panik moral,” katanya.
Pihak pengurusan turut melahirkan kekesalan terhadap kenyataan beberapa pihak berkuasa, institusi dan tokoh awam yang didakwa gagal meredakan keadaan, malah dikatakan memburukkan lagi situasi.
“Tindakan ugutan dan keganasan terhadap mana-mana pihak bukan penyelesaian kepada perbezaan pandangan,” menurut kenyataan itu lagi.
Katanya, komuniti lesbian, gay, biseksual, trans dan queer (LGBTQ+) wujud di seluruh negara, sama ada di bandar mahupun luar bandar, serta merupakan sebahagian daripada rakyat Malaysia yang berhak hidup dengan selamat dan bermaruah seperti dijamin Perlembagaan Persekutuan.
Organisasi itu menjelaskan, program itu hanyalah aktiviti komuniti tertutup yang bersifat pendidikan dan kesihatan, khususnya bagi mengurangkan stigma terhadap isu kesihatan awam seperti HIV.
“Walaupun program ini dibatalkan atas faktor keselamatan, kami tetap berdiri teguh pada prinsip keadilan dan kesaksamaan. Keputusan ini dibuat demi melindungi nyawa, bukan kerana mengalah,” katanya.
Tambahnya, usaha memperkasa pendidikan kesihatan, sokongan komuniti serta mempertahankan maruah dan hak asasi akan diteruskan dalam ruang yang selamat dan bertanggungjawab.
Sebelum ini, pelbagai pihak termasuk Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil memberi amaran supaya penganjur program itu tidak meneruskan rancangan mereka. Setakat ini, polis menerima lima laporan berkaitan program itu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihak berkuasa akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya amaran itu diabaikan selain telah mengarahkan pihak berkuasa tempatan untuk membuat pemantauan di kawasan berkenaan pada hari program dijangka berlangsung.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Sultan Sharafuddin bertitah agar tindakan tegas diambil terhadap program itu selain menzahirkan tentangan dan bantahan keras terhadap sebarang aktiviti songsang yang dianjurkan
di Selangor.
Titah baginda, walaupun perbuatan tersebut melibatkan dosa individu dengan Allah SWT yang melangkaui batas fitrah, namun perbuatan ini boleh mengundang kemurkaan serta laknat ke atas negeri ini. – KOSMO! ONLINE














