PUTRAJAYA – Imej reka bentuk pasport dan Mykad baharu dengan menggunakan warna biru gelap yang tular di laman media sosial dilaporkan sebagai palsu dan tidak dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Menafikan imej yang tular itu, KDN berkata, imej reka bentuk pasport dan MyKad baharu yang tular di media sosial bukanlah imej rasmi dan tidak dikeluarkan KDN.
“Rekaan visual itu tidak sahih dan tidak menggambarkan reka bentuk sebenar pasport atau MyKad baharu seperti yang didakwa,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah membuat pengumuman rasmi berkaitan perancangan pelaksanaan pasport dan MyKad baharu pada
tahun ini.
“Segala maklumat rasmi berkaitan reka bentuk dan ciri-ciri keselamatan pasport dan MyKad ini akan diumumkan oleh KDN melalui saluran komunikasi rasmi KDN dari semasa ke semasa.
“Orang ramai diingatkan untuk sentiasa mendapatkan maklumat daripada sumber yang sah dan berautoriti bagi memastikan ketepatan serta kesahihan sesuatu maklumat,” katanya.
KDN berkata, info rasmi dan perkembangan terkini berkaitan perkara ini boleh diperoleh melalui saluran media rasmi serta laman sesawang KDN, jabatan dan agensi kerajaan berkaitan. – KOSMO! ONLINE














