PETALING JAYA – Pelakon Siti Saleha berkongsi khabar gembira apabila selamat melahirkan cahaya mata sulung hasil perkongsian hidup bersama suami tercinta.
Saleha atau nama sebenarnya Siti Saleha Mohd. Baharum, 36, memuat naik sebuah video ringkas memaparkan detik awal kelahiran bayi lelaki mereka menerusi laman sosial, sekali gus mengundang rasa syukur dan senyuman peminat.
“Anak kami telah dilahirkan.
“Helo, nama saya Indra,” tulisnya ringkas.
Pun begitu, pelakon drama Dia Imamku itu tidak memperincikan tarikh sebenar kelahiran bayi berkenaan, sebaliknya memilih berkongsi momen sederhana penuh makna buat tatapan umum.
Perkongsian tersebut pantas dibanjiri ucapan tahniah daripada peminat serta rakan selebriti, rata-ratanya meluahkan rasa teruja dan mendoakan kesejahteraan ibu serta bayi.
“Selamat datang ke dunia, Indra. Tahniah Saleha dan suami, semoga perjalanan bergelar ibu bapa dipermudahkan,” komen seorang peminat.
Sebelum ini, adik kepada Sam Bunkface iru mengumumkan kehamilannya pada Mei tahun lalu, sekali gus menerima limpahan doa serta sokongan daripada ramai pihak.
Dalam satu majlis pendedahan jantina bayi, pelakon itu turut memaklumkan bakal menyambut kelahiran bayi lelaki, berita menggembirakan buat pasangan tersebut.
Untuk rekod, Saleha mendirikan rumah tangga bersama Joshua Fitton pada 15 Februari 2025. – KOSMO! ONLINE.














