PETALING JAYA – “Saya nak minta pendapat. Saya jururawat kerja di Singapura dan baru saja bekerja dalam setahun. Baru-baru ni, tunang saya minta belikan kereta Honda FL5 Type R.”
Itu pertanyaan seorang wanita berkenaan permintaan tunangnya yang memberi alasan permohonannya untuk membuat pinjaman kereta berkenaan ditolak disebabkan gaji terlalu kecil.
Oleh kerana itu wanita itu berkata, lelaki itu meminta supaya pinjaman itu dibuat di atas namanya.
“Dia kata dia boleh bayar bulanan. Sebab dia ada buat bisnes tunda motosikal. Persoalannya macam mana ya? Perlu ke saya teruskan permintaannya? Saya buntu,” soal wanita tersebut.
Soalan yang dikemukakan di Facebook Muflis Bangkrup di Malaysia itu dikongsikan semula oleh Pakar Kewangan dan Hartanah, Dr. Azizul Azli Ahmad menerusi tangkap layar di media sosial miliknya.
Beliau berkata, menjadi satu pantang larang terbesar dalam kewangan adalah membuat hutang untuk orang lain walaupun suami sendiri, apatah lagi tunang.
“Belajarlah dik daripada kesilapan orang lain sebelum ini. Kalau ikut harga kereta baru Honda FL5 Type R RM399,000 belum masuk insuran.
“Kalau kereta terpakai dalam RM275,000. Baik menabung untuk masa depan. Harap adik ni fikirlah semasak-masaknya tentang kehendak tunang,” ujarnya.
Azizul Azli menegaskan, kereta hanyalah medium untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain, jadi perlu pertimbang pembeliannya dengan kemampuan diri.
“Gaji tak seberapa tapi kehendak terlalu besar. Kereta hanya satu alat bergerak dari point A ke point B.
“Megah di mata orang saja tapi kalau jadi apa-apa pada kesihatan, risiko pinjaman kekal selagi berhutang,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE














