MELAKA – Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan mencuri dan berniaga harta curi berupa 17 jongkong emas, gelang dan cincin berlian milik pegawai kewangan negeri bernilai kira-kira RM254,000, dua tahun lalu.
Hakim Rohatul Akmar Abdullah bagaimanapun menangguhkan hukuman terhadap tertuduh, Mohd. Zakuan Abdul Rashid, 35, pada 15 Januari ini bagi menunggu serahan fakta oleh pihak pendakwaan.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh dengan niat telah mencuri dalam bangunan yang digunakan sebagai tempat kediaman milik YB (Yang Berhormat) Datuk Wira Salhah Salleh iaitu wang tunai RM20, satu utas gelang emas, dua cincin berbentuk berlian, dua utas gelang berlian dan 17 ketul jongkong emas berat keseluruhan dianggarkan 86 gram.
Perbuatan itu dilakukan antara bulan Jun 2024 hingga Disember 2025 di rumah kerajaan Yang Berhormat Pegawai Kewangan negeri, Bukit Peringgit dalam daerah Melaka Tengah di sini yang digunakan sebagai tempat kediaman Salhah.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda dan bagi kesalahan kedua atau yang kemudian hendaklah dihukum dengan pemenjaraan dan hendaklah juga dikenakan denda atau sebat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati dengan lazimnya telah berniaga barang-barang sama dicurinya itu di Lot 770/6, Lorong Tok Arsat Batu 11 1/2 Kampung Paya Rumput dalam daerah Melaka Tengah, dalam tempoh sama dan didakwa mengikut Seksyen 413 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Asri Abd. Rahman Sidik mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM100,000, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu ia dikurangkan.
Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin susulan tiada penjamin yang hadir bagi pihaknya.
Dalam prosiding sama, seorang wanita yang juga merupakan peniaga emas, Noazira Jaafar, 41, turut didakwa di bawah Seksyen 413 Kanun Keseksaan kerana didakwa dengan lazimnya telah menerima barang-barang sama yang dilarikan Mohd. Zakuan dalam tempoh dan lokasi sama di Kampung Paya Rumput.
Tertuduh yang diwakili Peguam Ishak Mohd. Kari bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan dibenarkan diikat jamin sebanyak RM20,000 berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan hadir pada setiap kali sebutan.
Rohatul kemudian menetapkan tarikh 10 Februari ini untuk sebulan semula kes. – KOSMO! ONLINE














