MANCHESTER – Episod malang Manchester United musim ini berterusan apabila tersingkir awal daripada saingan Piala FA selepas tewas 1-2 kepada Brighton dalam aksi pusingan ketiga di Old Trafford awal pagi semalam.
United kini mencatat dua rekod buruk dalam sejarah kelab selepas tersingkir peringkat awal kedua-dua kejohanan domestik musim ini, termasuk terkeluar Piala Liga Inggeris (EFL) susulan kekalahan kepada kelab kerdil, Grimsby Town.
Ini adalah kali pertama United ditunjukkan jalan keluar awal daripada dua piala domestik sejak kali terakhir ia berlaku 44 tahun lalu pada musim 1981/1982.
Lebih mengecewakan, kegagalan itu bermakna United kini hanya mempunyai saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk diperjuangkan dengan berada di kedudukan ketujuh liga.
Aksi di laman sendiri nyata tidak memberi kelebihan buat The Red Devils apabila membenarkan Brighton meledak dua gol menerusi Brajan Gruda dan Danny Welbeck, manakala jaringan sagu hati United dijaringkan Benjamin Sesko.
Kekalahan itu menyaksikan United hanya mampu menang sekali daripada tujuh perlawanan terakhir yang mana ia hadir ketika mengalahkan Newcastle United 1-0 pada 27 Disember lalu.
Lebih malang, pemain-pemain United dikecam penyokong sendiri sebaik sahaja perlawanan tamat, namun pengurus sementara, Darren Fletcher mengakui faham dengan kekecewaan yang dipamerkan.
“Tersingkir daripada pertandingan piala, sekarang kami hanya ada perlawanan liga. Penyokong menunjukkan rasa tidak puas hati selepas perlawanan tamat dan mereka berhak untuk meluahkannya.
“Sekiranya pemain menunjukkan reaksi yang tepat selepas ini, saya yakin penyokong akan terus berada di belakang mereka. Masih ada banyak perlawanan perlu diharungi selepas ini,” kata Fletcher yang turut dilayangkan kad kuning kerana protesnya terhadap pengadil.
Ia susulan kemarahannya terhadap keputusan pengadil mengarahkan pemain akademinya, Shea Lacey keluar padang selepas dikenakan kad merah pada minit ke-90. – AGENSI














