PETALING JAYA – Seorang guru tahun satu berada dalam dilema ketika mengambil kehadiran murid pada hari pertama persekolahan, semalam.
Hantaran di laman Facebook, guru wanita itu berdepan detik cemas selepas jumlah murid tidak selari dengan kehadiran direkodkan.
“Aku kira ada 33 murid dalam kelas, tapi yang sebut ‘ya saya!’ cuma 30 orang. Terpaksa buat kaedah semua berdiri, hanya duduk sekiranya nama dipanggil pun pening.
“Kisahnya ada yang tidak menyahut walaupun selepas tiga kali namanya dipanggil kerana ‘mak saya panggil saya abang’ dan ‘bapa saya panggil saya Rara’,” katanya.
Difahamkan, guru tersebut sudah menerangkan nama berkenaan merupakan nama panggilan di rumah, namun murid-murid itu masih berdiam diri walaupun dipanggil sekali lagi.
“Mohon mak ayah pastikan anak tahu nama masing-masing ya. Aku hanya mampu gelak sahaja demi kesejahteraan mental diriku,” ujarnya.
Sementara itu, seorang pengguna Facebook Syazana Othman turut berkongsi pengalaman sama ketika menjaga murid tahun satu.
“Betul. Saya pun gelabah sebab tak cukup bilangan. Memang mak ayah panggil ‘adik, baby, boboy, dedek’ dan sebagainya. Nama bukan main panjang lagi,” katanya.
Perkongsian tersebut meraih perhatian ramai dengan rata-rata pengguna yang juga guru tahun satu turut berkongsi pengalaman sama.
“Semalam saya panggil nama seorang murid ini lima kali, tapi murid itu tak menyahut pun. Katanya, nama dia ‘baby’,” komen Ain Amani.
“Semasa saya kerja sebagai guru tadika, kami pastikan murid-murid kenal nama sendiri sebelum masuk sekolah,” komen @Affan Zahari. – KOSMO! ONLINE














