fbpx
Keadaan di lokasi kejadian susulan letupan gas pendingin hawa di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara, semalam.

Letupan gas universiti: Permit kerja perlu diperketat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Insiden letupan pendingin hawa di kafeteria sebuah universiti swasta di Bukit Damansara yang mengorbankan seorang individu dan mencederakan sembilan individu lain awal pagi semalam menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan kerja di kampus.

Pensyarah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan serta Pegawai Keselamatan dan Kesihatan (SHO), Fakulti Sains Hayat dan Kesihatan, Management and Science University (MSU), Aisha Warshaf berkata, kerja penyelenggaraan pendingin hawa bukan sekadar melibatkan pembersihan penapis atau pengisian gas, sebaliknya turut membabitkan aktiviti berisiko tinggi seperti pemotongan paip dan penggunaan api terbuka.

“Kerja seperti brazing (pampatan menggunakan api) dan pemotongan paip tembaga menggunakan gas mudah terbakar boleh mencetuskan letupan jika tidak dikawal dengan betul, terutamanya di ruang tertutup,” katanya.

Beliau turut menegaskan kejadian itu sepatutnya menjadi amaran keras kepada semua institusi pendidikan agar tidak memandang ringan prosedur keselamatan, khususnya berkaitan kerja panas (hot work).

Kerja berisiko perlu dilaksanakan di bawah Permit Kerja Panas yang merangkumi pentaksiran risiko, pengasingan kawasan, penyediaan alat pemadam api serta pemantauan keselamatan oleh penyelia kompeten.

“Kegagalan mematuhi prosedur itu bukan sahaja membahayakan kontraktor, malah mendedahkan pelajar dan kakitangan universiti kepada risiko kecederaan atau kematian,” katanya.

Dalam pada itu, pengurusan institusi pendidikan diingatkan agar tidak menyerahkan sepenuhnya aspek keselamatan kepada kontraktor semata-mata, sebaliknya perlu memastikan hanya kontraktor bertauliah dan terlatih dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) dibenarkan menjalankan kerja penyelenggaraan.

“Tindakan tegas perlu diambil termasuk menghentikan kerja serta-merta sekiranya Permit Kerja Panas tidak dipatuhi,” katanya.

Insiden tersebut turut menimbulkan persoalan mengenai tahap pemantauan keselamatan di kampus dan keperluan untuk penguatkuasaan lebih ketat bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Insiden seperti ini mampu dielakkan jika semua pihak mengambil berat isu ini. Jadikan insiden ini sebagai titik kilas untuk kita tidak lagi berkompromi dengan aspek keselamatan kontraktor. Jangan tunggu insiden berikutnya berlaku,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI