KUALA LUMPUR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan kebimbangan apabila sebahagian umat Islam hari ini dilihat seolah-olah kehilangan ‘kompas’ kehidupan, terperangkap dalam budaya mengejar kebendaan sehingga sanggup mengorbankan nilai, etika dan integriti.
Baginda bertitah ada dalam kalangan masyarakat yang terlalu ghairah mengejar kekayaan, jawatan dan kuasa hingga persaingan berlaku secara tidak sihat serta menindas pihak yang lemah.
Menurut baginda, dalam perlumbaan mengejar kedudukan itu, wujud pula budaya ‘membeli’ sokongan dan menjadikan fitnah sebagai senjata untuk menjatuhkan lawan, sekali gus menzahirkan kemerosotan akhlak dan nilai kemanusiaan.
“Manusia bagaikan kembali ke era jahiliah, taksub dan dipesongkan untuk mengabdikan diri kepada kuasa yang lain daripada kuasa Ilahi; lebih takut kepada manusia lain dan melupakan ketauhidan Ilahi.
“Jawatan dan kuasa yang disandang pada hari ini, merupakan ujian terhadap tingkat keimanan dan ketakwaan seseorang insan jika tidak dikembari dengan iman dan takwa, boleh menjejaskan ketauhidan serta pegangan seorang hamba terhadap Penciptanya,” titah baginda pada majlis pembukaan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKI) Ke-74, di sini hari ini.
Baginda turut mengingatkan umat Islam agar kembali menjadikan petunjuk Ilahi sebagai panduan hidup, termasuk mengambil iktibar daripada maksud firman Allah dalam Surah An-Nahl ayat 51 dan 52 yang menegaskan keesaan Allah serta kewajipan untuk takut hanya kepada-Nya.
Sultan Nazrin bertitah, institusi Islam tidak terkecuali menerima tempias persepsi negatif sekiranya berlaku kelemahan pengurusan atau ketiadaan integriti dalam kalangan insan yang diamanahkan memimpin serta mengurus institusi tersebut.
“Institusi Islam yang membuktikan kecemerlangan dan berintegriti bukan sahaja membantu ummah untuk lebih maju, malah berupaya memperbetulkan persepsi negatif terhadap Islam, di samping mengembangkan syiar Islam serta membina imej dan pandangan positif terhadap agama.
“Mereka yang dipilih dan diamanahkan untuk memimpin serta mengurus institusi Islam hendaklah memiliki integriti yang tidak boleh diragukan, di samping berfikiran proaktif, mencetuskan idea inovatif, memperkenalkan gerak kerja dinamik serta berani berhijrah menyeberangi sempadan baharu dan meneroka wilayah baharu.
“Selain itu, dalam keadaan masyarakat semakin terperangkap dengan budaya mengejar pencapaian lahiriah sehingga sanggup mengorbankan kebersihan jiwa, adab, akhlak serta tanggungjawab fardu ain dan fardu kifayah. Sifat berani mempertahankan kebenaran wajib disemai dan dididik sejak awal kehidupan,” titah baginda.
Baginda menegaskan, Islam mementingkan pendidikan yang mengutamakan pembinaan kekuatan dalaman, melahirkan insan seimbang dan holistik yang berkembang secara menyeluruh daripada aspek intelek, emosi, rohani dan jasmani, bukan sekadar mengejar pencapaian akademik tanpa arah hidup dan nilai insani yang betul.
“Roh dan matlamat suci pendidikan perlu diutamakan, khususnya dalam usaha membantu meletakkan negara di landasan yang betul ke arah kesejahteraan serta memperoleh keampunan Ilahi.
“Ahli-ahli MKI yang mewakili pelbagai konstituen dalam majlis syura ini, wajib mencapai kata dan usaha sepakat memberikan tumpuan terhadap agenda pendidikan ummah, mengutamakan usaha mengasuh dan membimbing ummah untuk menjadi Muslim sejati,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE














