KUALA LUMPUR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menegaskan segala ketetapan dan rumusan yang dicapai menerusi Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKI) tidak sepatutnya berakhir sebagai ‘dokumen bertulis’ semata-mata.
Sebaliknya, Baginda bertitah ia wajib disusuli tindakan bersungguh-sungguh oleh Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri serta agensi berkaitan.
Baginda yang juga Pengerusi MKI bertitah kerajaan dan agensi bertanggungjawab perlu memberi perhatian serta menghormati perkara yang telah dirumuskan demi memberi nilai bermakna kepada peranan MKI, selain mengelakkan majlis itu dilihat sekadar platform berbincang dan berhujah tanpa pelaksanaan.
“Yang lebih penting ialah tindakan susulan atas segala saranan dan rumusan, supaya saranan dan rumusan tidak tinggal sebagai dokumen bertulis yang menghadapi nasib tenggelam dalam timbunan kertas.
“Ketetapan dan rumusan, apabila disusul serta dilaksanakan secara bersungguh, akan memberi manfaat langsung kepada rakyat… meningkatkan penghormatan, pemahaman, penghayatan dan apresiasi terhadap Islam bukan sahaja dalam kalangan umat Islam malah dalam kalangan bukan Islam,” titah Baginda pada majlis pembukaan Mesyuarat MKI Ke-74, di sini hari ini.
Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan dan Timbalannya, Marhamah Rosli, serta Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee.
Sultan Nazrin bertitah, dalam tempoh dua tahun diamanahkan mempengerusikan MKI, pelbagai perkara telah dibincang dan dipertimbang untuk mencapai persefahaman serta persepakatan, termasuk perkara-perkara yang telah dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja.
Baginda turut memaklumkan Mesyuarat MKI Ke-74 merupakan mesyuarat ketiga yang dipengerusikan baginda sejak diamanahkan oleh Majlis Raja-Raja bermula 10 Mac 2024 dan akan berakhir 9 Mac ini.
Dalam titah sama, baginda merakamkan penghargaan kepada ahli dan urus setia MKI serta lima jawatankuasa yang mendukung kerja-kerja majlis, termasuk Jawatankuasa Pengurusan Hal Ehwal Islam Kebangsaan, Jawatankuasa Muzakarah, Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan, Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan dan Jawatankuasa Kehakiman Syariah Kebangsaan.
Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Naim Mokhtar atas sumbangan sepanjang tempoh menganggotai MKI, selain menzahirkan ucapan tahniah kepada Dr. Zulkifli dan Marhamah atas pelantikan masing-masing sebagai Menteri dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). – KOSMO! ONLINE














