LANDSKAP teknologi kini dilihat semakin matang dengan fungsi lebih pelbagai untuk memenuhi keperluan manusia.
Hal ini dapat dilihat menerusi penganjuran Pameran Consumer Electronics Show (CES) 2026 di Las Vegas, Amerika Syarikat yang membariskan pelbagai inovasi produk berasaskan pengguna dari seluruh dunia.
Inovasi dipamerkan bukan semata-mata untuk memukau dari sudut teknikal, malah menyelesaikan masalah sebenar yang dihadapi oleh masyarakat moden.
Menurut Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif, Persatuan Teknologi Pengguna (CTA), pemilik dan penerbit Consumer Electronics (CE), Gary Shapiro, CES 2026 membariskan pelbagai inovasi daripada mobiliti peribadi yang lebih pintar, peralatan dapur memudahkan kehidupan, robot pendamping menyentuh emosi, sehinggalah peranti kesihatan untuk kehidupan seharian.
“CES 2026 membayangkan masa depan, di mana teknologi dan kemanusiaan bergerak seiring serta menjadi tempat para inovator berhubung, menjalin perkongsian dan menjalankan perniagaan pada skala global.
“Pameran ini menunjukkan bahawa inovasi paling bermakna adalah produk yang benar-benar memahami keperluan manusia,” katanya dalam satu kenyataan akhbar baru-baru ini.
Tambahnya, CES 2026 sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai pentas utama dunia untuk memperkenalkan inovasi teknologi yang bakal membentuk masa depan kehidupan manusia.
Pameran tahunan itu menghimpunkan gergasi teknologi, syarikat pemula dan penyelidik dari seluruh dunia.
Para pempamer bukan saja mempamerkan idea yang canggih dari sudut kejuruteraan, malah berteraskan keperluan manusia moden.
Katanya lagi, berbeza dengan tahun-tahun terdahulu yang banyak menonjolkan gajet hiburan, CES 2026 jelas memperlihatkan peralihan fokus.
Jelasnya, kebanyakan teknologi yang dipamerkan pada CES 2026 menyentuh aspek mobiliti peribadi, kesejahteraan emosi, kesihatan harian dan kemudahan hidup seharian.
Antara inovasi paling mencuri tumpuan adalah Tensor Robocar iaitu sebuah kenderaan autonomi tahap tinggi yang direka khusus untuk pemilikan individu.

Tidak seperti ‘robotaxi’ yang bergantung kepada rangkaian bandar pintar, Tensor Robocar dibangunkan sebagai kenderaan peribadi sepenuhnya yang mampu beroperasi secara autonomi dalam zon pemanduan dibenarkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Tensor, Jay Xiao dalam satu temu bual bersama media antarabangsa berkata, robocar menggunakan pendekatan ‘AI-first’.
Kenderaan itu turut dilengkapi sistem pemprosesan berprestasi tinggi yang membolehkannya mentafsir persekitaran secara masa nyata melalui gabungan kamera, radar, lidar dan penderia bunyi.
“Tensor Robocar berupaya memberikan pengalaman pemanduan tanpa pemandu yang lebih selamat, lancar dan boleh disesuaikan mengikut keperluan pemilik.
“Keunikan Tensor Robocar bukan sahaja terletak pada keupayaan pemanduan autonominya, malah reka bentuk kabin yang futuristik.
“Roda stereng boleh lipat yang diperkenalkan membolehkan ruang dalaman dioptimumkan apabila mod autonomi diaktifkan, sekali gus mengubah kereta menjadi ruang kerja, ruang rehat atau ruang sosial bergerak,” ujarnya.
Katanya lagi, pelancaran Tensor Robocar berteraskan visi syarikatnya untuk menggabungkan kebebasan mobiliti dengan kecerdasan buatan (AI) supaya kenderaan bukan sekadar alat pengangkutan, malah boleh disesuaikan dengan gaya hidup pengguna.
Tensor melihat pada masa depan, pemilik kenderaan tidak lagi terikat sepenuhnya kepada stereng, sebaliknya bebas memanfaatkan masa perjalanan untuk perkara lebih bermakna.
Selain inovasi berskala besar dalam industri automotif, CES 2026 turut menampilkan teknologi lebih kecil dari segi saiz tetapi besar impaknya.
Misalnya, ultrasonic chef knife yang diperkenalkan oleh sebuah syarikat teknologi dapur dari Amerika Syarikat.
Menurut jurucakap pengeluar inovasi tersebut, pisau itu menggunakan getaran ultrasonik berfrekuensi tinggi bagi mengurangkan geseran ketika memotong, sekali gus membolehkan bahan makanan dipotong dengan mudah, tepat dan bersih.
Teknologi itu bukan sahaja meningkatkan kecekapan kerja di dapur, malah mengurangkan keletihan tangan, khususnya bagi tukang masak profesional dan individu yang mempunyai masalah kekuatan genggaman.
“Penggunaan teknologi ultrasonik dalam peralatan dapur bertujuan menjadikan kerja memasak lebih inklusif dan menyeronokkan.
“Kami mahu teknologi bekerja untuk manusia, bukan sebaliknya.
“Pisau ini direka supaya penggunanya boleh masak dengan lebih yakin dan selesa, tanpa mengira tahap kemahiran,” katanya.

Inovasi itu mencerminkan trend yang semakin ketara di CES 2026 iaitu penggunaan teknologi canggih untuk memudahkan tugas asas harian.
Dalam segmen robotik pula, perhatian pelawat tertumpu kepada robot anjing pendamping yang direka khusus untuk warga emas dan golongan rentan.
Robot itu bukan bertujuan menggantikan haiwan peliharaan sebenar, sebaliknya sebagai alternatif bagi individu yang tidak mampu memelihara haiwan hidup atas faktor kesihatan, kewangan atau persekitaran.
Dengan pergerakan yang realistik, respons sentuhan dan ekspresi emosi yang menyerupai anak anjing sebenar, robot itu menawarkan sokongan emosi dan rasa kebersamaan kepada penggunanya.
Ketua pegawai eksekutif syarikat pengeluar robot tersebut, Tom Stevens menjelaskan bahawa inovasi itu lahir daripada pemerhatian terhadap masalah kesunyian dalam kalangan warga emas.
“Bagi sesetengah orang, sentuhan dan interaksi emosi adalah keperluan asas. Jika teknologi boleh membantu mengurangkan rasa sunyi dan meningkatkan kualiti hidup, maka itulah tujuan sebenar inovasi.
“Robot ini mampu mencetuskan reaksi emosi positif, termasuk senyuman dan perbualan spontan dalam kalangan pengguna berusia,” kongsinya.
Aspek kesihatan turut menjadi tumpuan utama di CES 2026 melalui pengenalan berus gigi pintar yang mampu mengesan tanda awal diabetes dan pelbagai keadaan kesihatan lain.
Berus gigi itu menggunakan penderia dan AI untuk menganalisis biomarker dalam nafas dan air liur pengguna semasa rutin memberus gigi. Data tersebut kemudian diproses untuk mengenal pasti corak yang mungkin berkait dengan paras gula dalam darah atau gangguan metabolik.
Menurut wakil pengeluar berus gigi pintar itu, matlamat utama mereka adalah untuk membawa pemantauan kesihatan ke dalam rutin harian, tanpa memerlukan perubahan gaya hidup yang drastik.
“Kami percaya pencegahan bermula dengan kesedaran. Jika seseorang boleh mendapat isyarat awal hanya melalui aktiviti harian seperti memberus gigi, ia boleh mengubah cara kita menjaga kesihatan.
“Walaupun bukan bertujuan menggantikan diagnosis perubatan, namun teknologi ini dilihat sebagai langkah awal ke arah penjagaan kesihatan berasaskan pencegahan,” katanya.















