fbpx
Para pelajar didedahkan dengan pelbagai ilmu bagi membentuk peribadi yang holistik dan beretika pada program tersebut di Pulau Banding, Gerik.

Graduan perakaunan UMK bersifat holistik, beretika

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GERIK – Melahirkan graduan perakauan yang bersifat holistik dan beretika menjadi matlamat penganjuran program Accountants Back to Nature @ UMK-TRaCe anjuran Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melalui Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP) selama tiga hari di Pulau Banding di Gerik.

Pengarah Program Accountants Back to Nature @ UMK-TRaCe, Najmuddin Mohd. Johari berkata, program yang berlangsung dari 10 Januari hingga semalam itu melibatkan seramai 59 pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (SAA) tahun tiga Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP) UMK.

Katanya, program pembelajaran berasaskan pengalaman itu dilaksanakan di UMK Tropical Rainforest Research Centre (UMK-TRaCe), Pulau Banding dengan kerjasama Pulau Banding Foundation serta sokongan Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UMK.

“Inisiatif ini memberi pendedahan sebenar kepada pelajar mengenai peranan akauntan dalam menyokong kelestarian operasi, tadbir urus dan penciptaan nilai jangka panjang.

“Program ini dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar dan diketuai saya, sekali gus mencerminkan keupayaan pelajar UMK dalam merancang dan melaksanakan program berskala besar secara profesional,” katanya di Gerik hari ini.

Najmuddin berkata, antara pengisian utama program ialah penglibatan komuniti di Kampung Klewang, melibatkan aktiviti sukan dan sukaneka bersama komuniti Orang Asli dan sumbangan barangan keperluan asas.

Beliau berkata, turut dilaksanakan ialah pelaksanaan Program Klinik Kebersihan Mulut (Oral Hygiene CSR) bagi meningkatkan kesedaran kesihatan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

“Program ini turut disertai staf Perbadanan Taman Negeri Perak, sekali gus memperkukuh kerjasama antara universiti, agensi dan komuniti setempat.

“Pelajar juga didedahkan kepada alam semula jadi melalui aktiviti pengenalan biodiversiti hutan dan eko-sukan seperti bamboo rafting, selari dengan tema program yang menekankan keseimbangan antara profesion, masyarakat dan alam sekitar,” katanya.

Secara keseluruhan, katanya, program itu mencerminkan komitmen UMK dalam membentuk akauntan masa hadapan yang bukan sahaja kompeten secara teknikal, malah peka terhadap tanggungjawab sosial, alam sekitar dan pembangunan mampan negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN