PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh hari ini menarik nafas lega selepas Mahkamah Rayuan di sini hari ini membenarkan saman fitnahnya terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berhubung kenyataan pada satu forum di sebuah univerisiti enam tahun lalu.
Pada masa sama, Hannah, 47, turut menzahirkan rasa syukur serta penghargaan kepada barisan peguamnya yang terlibat sepanjang proses rayuan.
“Selama enam tahun, saya terpaksa hidup dengan pelbagai pembohongan dan fitnah yang berlegar di media sosial yang bukan sahaja mencemarkan nama baik saya malah turut mengelirukan orang ramai, kerana tuduhan tersebut dibuat oleh bekas Ketua Polis Negara.
“Saya amat bersyukur dan gembira dengan keputusan mahkamah hari ini, Kini, tumpuan saya adalah untuk terus melaksanakan amanah kepada rakyat dengan penuh integriti, tanggungjawab dan keikhlasan,” katanya ketika ditemui selepas prosiding kes.
Sementara itu ketika ditanya, adakah beliau berpuas hati dengan jumlah ganti rugi RM250,000 yang perlu dibayar Musa, Hannah memaklumkan jumlah itu bukan yang perkara utama.
“Mahkamah sudah membuat keputusan apa yang adalah bukti apa yang dikatakan tentang saya (fitnah) tidak benar, apa yang penting adalah dapat membersihkan nama saya,” katayanya.
Terdahulu, Hannah berjaya dalam rayuan terhadap saman fitnahnya terhadap Musa berhubung kenyataan fitnah pada satu forum di sebuah univerisiti enam tahun lalu.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azimah Omar (yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan) selepas membenarkan rayuan Hannah selaku perayu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Dr. Choo Kah Sing dan Datuk Dr. Shahnaz Sulaiman.
Mahkamah turut memerintahkan Musa membayar ganti rugi sebanyak RM250,000 dan kos RM60,000 terhadap Hannah yang kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan). – KOSMO! ONLINE














