PETALING JAYA – “Baliklah… kami sekeluarga tak pernah marah dan tidak akan memarahi.”
Seorang abang dikenali Hadin, merayu agar adiknya, Nazrin, segera pulang ke pangkuan keluarga selepas dilaporkan hilang sejak Disember lalu dan dipercayai terpengaruh dengan seorang wanita yang dikenalinya menerusi permainan dalam talian.
Hadin menyifatkan adiknya yang bekerja sendiri sebagai individu positif serta berwawasan, namun menunjukkan perubahan sikap ketara selepas berkenalan dengan seorang wanita melalui permainan Mobile Legends.
“Pada awalnya kami tidak tahu siapa wanita itu. Adik saya terlalu taksub, sering bercakap soal cinta dan mahu berjumpa dengannya. Sejak itu, dia mula menjauhkan diri daripada keluarga,” katanya menerusi rakaman video Facebook Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO), hari ini.
Menurut Hadin, adiknya pernah melarikan diri buat kali pertama pada 17 Disember lalu, namun berjaya ditemui semula pada awal pagi di sekitar Kuala Lumpur sebelum dibawa pulang dan dipujuk secara baik oleh keluarga.
“Kami berbincang elok-elok. Saya beritahu, kalau dia mahu berkahwin, keluarga langsung tidak menghalang. Kami benarkan dan tidak pernah marah,” jelasnya.
Bagaimanapun, Nazrin sekali lagi menghilangkan diri pada 22 Disember lalu kira-kira pukul 10 pagi selepas bersarapan bersama ahli keluarga.
“Ketika itu saya ke tandas dan dia keluar rumah seperti biasa menaiki motosikal. Sejak hari tersebut, kami gagal mengesannya. Telefon ditutup, WhatsApp dan panggilan langsung tidak dijawab,” katanya.
Katanya, hasil maklumat rakan dan staf, wanita yang dikenalinya itu didakwa mengaku sebagai warga China dan pernah menyatakan kononnya sedang melanjutkan pelajaran di sebuah universiti tempatan.
Malah, adiknya juga dipercayai pernah menyerahkan sejumlah wang kepada wanita tersebut, namun jumlah sebenar tidak diketahui.
“Kami semakin bimbang kerana terdapat unsur mencurigakan, termasuk permintaan wang dan maklumat yang tidak konsisten. Saya takut adik saya menjadi mangsa love scam atau dipengaruhi pihak tidak bertanggungjawab,” ujarnya.
Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya memandang serius kes berkenaan memandangkan mangsa berusia 18 tahun ke atas dan diklasifikasikan sebagai individu dewasa di bawah undang-undang.
Menurutnya, dalam keadaan tersebut, ibu bapa atau ahli keluarga tidak mempunyai kuasa untuk menghalang pergerakan atau menyekat kebebasan seseorang kecuali dengan perintah mahkamah. – KOSMO! ONLINE













