MANCHESTER – Manchester City tekad mencari bekalan selesa menjelang separuh akhir pertama saingan Piala Liga Inggeris (EFL) menentang Newcastle United di St. James Park awal pagi esok.
Penolong pengurus City, Pep Lijnders menegaskan, sasaran City hanyalah mara ke perlawanan akhir Piala FA yang memerlukan mereka membawa pulang bekalan selesa sebelum aksi timbal balik di Stadium Etihad.
Beliau berkata, pemain-pemain City berada dalam keadaan cukup bersedia dan mereka memasang impian untuk beraksi di Wembley kerana menganggap saingan EFL sangat penting selain memiliki sejarah hebat.
“Sudah tentu satu pencapaian cukup baik sekiranya dapat melayakkan diri ke final dan bermain di Wembley. Ini merupakan perlawanan pertama, jadi kami perlu meletakkan pasukan dalam keadaan selesa.
“Semua orang tahu Wembley adalah stadium yang sangat hebat dan bersejarah, jadi pemain-pemain sangat teruja. Mereka mahu mengulangi pencapaian-pencapaian sebelum ini dengan menjulang trofi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengakui aksi menentang Newcastle boleh dimanfaatkan sepenuhnya City bagi memberi peluang kepada muka baharu yang dibawa masuk seperti Antoine Semenyo.
“Kami memiliki ramai pemain yang sudah memenangi banyak piala seperti Rodri, Bernardo (Silva) dan Ruben (Dias). Saya yakin mereka boleh membantu pasukan, terutamanya pemain baharu untuk menyesuaikan diri,” ujar Lijnders. – AGENSI














