MELAKA – Bekas pengerusi Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim, Mohd. Hakim Mohd. Nor, 39, hari ini didakwa lagi atas pertuduhan sama menyalahguna harta membabitkan wang derma misi kemanusiaan bernilai lebih RM576,000, tujuh tahun lalu.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus enam pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Elesabet Paya Wan.
Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim secara tidak jujur telah menyalahgunakan harta milik Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim berjumlah keseluruhan RM576,995.40.
Wang tersebut adalah wang derma bantuan misi kemanusiaan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Myanmar, Yaman, Syria, Palestin.
Perbuatan itu dilakukan antara Jun 2019 hingga Mei 2021 di Maybank Islamic Berhad Cawangan Merlimau dalam daerah Jasin, Melaka dan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan (Akta 574).
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin dan Asmaa’ Zamri mencadangkan jaminan sebanyak RM200,000 dengan mengambil kira jumlah keseluruhan wang terlibat dan keseriusan pertuduhan.
Peguam Azizul Shariman Mat Yusoff yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jumlah itu dikurangkan dan memberitahu ia terlalu tinggi, malah anak guamnya mempunyai masa satu minggu sahaja bagi menyediakan wang jaminan.
Tambahnya, anak guamnya juga hadir di pekarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh seawal pukul 8.30 pagi dan sebelum ini telah direman serta tanpa gagal hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) beberapa kali apabila diminta untuk membantu siasatan.
“Ini menunjukkan beliau bukanlah (individu) yang berisiko melarikan diri. Tertuduh juga telah dituduh di Kuala Lumpur di bawah seksyen sama membabitkan nilai RM207,000 dan dibenarkan diikat jamin sebanyak RM10,000.
“Jika berdasarkan sifir sama, saya mohon jumlah RM20,000 hingga RM30,000 memadai untuk kes hari ini dan tertuduh juga akan dituduh di Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak, esok. Justeru, anak guam saya (juga) perlu menyediakan jaminan untuk esok,” hujahnya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM35,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan tarikh 13 Mac ini sebagai sebutan semula kes.
Semalam Kosmo! melaporkan Mohd. Hakim didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menyalahguna harta membabitkan wang derma misi kemanusiaan berjumlah RM207,000 milik pertubuhan sama tujuh tahun lalu.
Mohd. Hakim Mohd. Nor, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azrul Darus.
Dia kemudian dibenarkan diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di pejabat SPRM berhampiran kediaman pada awal bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Sebelum ini media melaporkan SPRM membongkarkan kegiatan penyelewengan dana sebuah NGO hasil sumbangan orang ramai dipercayai berjumlah RM26 juta.
Sumber berkata, kegiatan penyelewengan dana itu terbongkar susulan tangkapan lima individu termasuk pengerusi, setiausaha, bendahari dan pegawai kewangan sebuah pertubuhan menerusi Op Serantau. – KOSMO! ONLINE














