fbpx
Mayat yang ditemukan di sebuah kawasan tapak parkir kereta di MITC. Foto oleh ARIF HAMIZAN MISKON / KOSMO!

Bau busuk, lalat kerumun kereta bawa penemuan mayat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Bau busuk yang menusuk dan lalat mengerumuni sebuah kereta Nissan Almera di kawasan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh di sini, membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam pada pukul 1.48 tengah hari mengenai kenderaan yang mengeluarkan bau tidak menyenangkan.

“Pasukan polis dari Balai Polis Air Keroh, bersama anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, Pasukan Forensik D10 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bergegas ke lokasi.
“Pemeriksaan di dalam kenderaan mendapati seorang mangsa lelaki berada di tempat duduk pemandu dalam keadaan mayat telah reput,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Tambahnya, turut ditemui di dalam Almera tersebut ialah sebuah bekas kaca yang mengandungi kesan pembakaran arang.

Ujarnya, pegawai perubatan turut hadir ke lokasi bagi mengesahkan kematian mangsa dan mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat lanjut.

“Setakat ini, hasil siasatan awal tidak mendapati sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai Laporan Kematian Mengejut (SDR).

“Namun, siasatan lanjut dari pelbagai sudut masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan. Kami menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih demi menjaga sensitiviti keluarga mangsa,” ujarnya.

Katanya lagi, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Balai Polis Air Keroh di talian 06-2321222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN