Presiden Donald Trump memperhebatkan rancangan beliau untuk mendapatkan tanah jajahan bersalji Denmark, Greenland di rantau Artik atas alasan kepentingan strategik dan keselamatan Amerika Syarikat (AS).
Pelbagai kaedah dibincangkan oleh pasukan penasihat Trump termasuk pendedahan White House bahawa Washington mungkin merasuah warga Greenland menerusi bayaran tunai antara AS$10,000 (RM41,000) hingga AS$100,000 (RM406,000) bagi setiap individu supaya membenarkan AS mengambil alih wilayah mereka.
Ini bermakna AS perlu membayar sehingga AS$5.6 bilion (RM23 bilion) kepada penduduk Greenland yang dianggarkan berjumlah cuma kira-kira 56,000 orang sekiranya sogokan tersebut diterima. Jumlah itu kecil berbanding nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Amerika pada tahun lalu.
Nilai KDNK AS mengikut data Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada 2025 ialah AS$30.62 trilion (RM125 trilion) dan menduduki tempat pertama di dunia sebagai kuasa ekonomi terbesar, mendahului China yang berada di tangga kedua dengan AS$19.4 trilion (RM79 trilion).
Bagi mewajarkan hasrat pengambilalihan itu, bayaran kepada penduduk Greenland dianggap cara sah di sisi undang-undang untuk memperoleh wilayah Artik tersebut.
Namun, akhbar The Mail on Sunday mendedahkan, Trump turut dilaporkan telah mengarahkan komander-komander pasukan khasnya untuk merangka pelan pencerobohan ke atas Greenland tetapi tindakan itu mendapat tentangan daripada pegawai-pegawai kanan tentera.
Sumber-sumber berkata, pasukan penasihat di sekeliling Trump yang diketuai oleh penasihat politik Stephen Miller, menjadi semakin berani selepas kejayaan operasi menahan pemimpin Venezuela, Nicolas
Maduro dan kini mahu bertindak pantas untuk merampas pulau tersebut sebelum Russia atau China mengambil langkah terlebih dahulu.
Diplomat Britain percaya Trump juga didorong oleh keinginan untuk mengalihkan perhatian pengundi Amerika daripada prestasi ekonomi menjelang pilihan raya pertengahan penggal lewat tahun ini kerana beliau berisiko kehilangan kawalan Kongres Amerika kepada Parti Demokrat.
Prestasi ekonomi tahun lalu hanya berkembang sebanyak dua peratus, manakala KDNK per kapita Amerika ialah AS$89,599 (RM365,000) di negara yang mempunyai jumlah penduduk lebih 340 juta orang tetapi
Trump masih membelanjakan kos operasi tentera menangkap Maduro, menghantar bantuan senjata ke Ukraine, menyerang kemudahan nuklear Iran dan melancarkan serangan balas dendam terhadap pejuang Daesh di Syria.
Semua itu melibatkan kos yang besar dan wang diperoleh Trump untuk membiayai kos tentera beroperasi di luar negara adalah dikutip daripada pembayar cukai tidak kira sama ada mereka bersetuju atau tidak dengan apa telah dilakukannya sejak memegang jawatan Presiden AS pada Januari tahun lalu.
Walaupun negara ‘Uncle Sam’ itu mempunyai hutang lebih AS$38 trillion (RM155 trilion) dan penutupan kerajaan persekutuan selama 43 hari, paling lama dalam sejarah Amerika, ia tidak menghalang Trump daripada berbelanja untuk melaksanakan operasi tentera dan menjadikan ‘hasratnya’ tercapai.














