fbpx
Gambar bersama pekerja kedai serbaneka yang dimuat naik dalam hantaran tersebut.

Transaksi RM2 jadi ‘hint’ kepada pemilik dompet hilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang lelaki meluahkan rasa syukur apabila dompet yang disangka ‘tersalah letak’ di rumah selama hampir dua minggu akhirnya berjaya ditemui semula.

Lebih mengejutkan, rupa-rupanya dompet pemuda itu disimpan baik oleh beberapa pekerja sebuah kedai serbaneka tanpa pengetahuannya.

Menerusi perkongsian di akaun Thread @Johan.thehutt, lelaki itu berkata dia pada mulanya tidak terlalu risau kerana menyangka dompetnya berada di rumah sebelum gagal menemuinya setelah puas mencari.

“Tiba-tiba satu transaksi dilakukan di kedai serbaneka tersebut tetapi saya tidak berada di premis itu.

“Terfikir takkanlah orang nak guna kad dan curi RM1 atau RM2. Jadi saya fikir kemungkinan pekerjanya nak maklumkan sesuatu pada saya melalui transaksi debit,” katanya sambil menyertakan tangkap layar transaksi ‘Payment via MyDebit’ membabitkan jumlah RM1 sebanyak dua kali di Seri Kembangan.

Tidak lama kemudian, lelaki itu tampil ke kedai serbaneka berkenaan dan terkejut apabila dimaklumkan dompetnya telah disimpan oleh pekerja kedai tersebut selama hampir dua minggu.

“Rupanya… abang-abang ini simpan dompet saya hampir dua minggu sampai hari ini. Tabik dan terima kasih kepada mereka atas kejujuran dan integriti yang ditunjukkan. Alhamdulillah, Allah temukan dengan orang-orang baik,” katanya.

Perkongsian itu turut disertakan foto bersama tiga pekerja kedai serbaneka berkenaan sambil pemilik berkenaan memegang dompetnya.

Menjengah ruangan komen, rata-rata orang ramai memuji sikap jujur pekerja berkenaan serta menganggap kejadian itu sebagai peringatan bahawa masih ramai insan baik di sekeliling.

“Kreatifnya pemikiran pekerja-pekerja tu nak bagi petunjuk. Dan sebaik juga pemiliknya jenis ‘cepat tangkap’,” komen Izzie.

“Level lain punya genius ni. Tahniah pekerja-pekerja sebab jadi seorang yang jujur. Kau bernasib baik bang sebab Allah jaga dompet kau,” komen Auro.

“Dua-dua bijak, seorang bijak sebab fikir diluar kotak, seorang lagi bijak sebab tahu nak buat apa bila pegang dompet orang,” komen Hanie pula. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN