SHAH ALAM – Operasi memindahkan 100,000 ekor babi dari Kuala Langat dan Sepang ke Bukit Tagar, Hulu Selangor akan dipercepatkan untuk dilaksanakan sepenuhnya tahun ini.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir. Izham Hashim berkata, proses pemindahan ke ladang sawit seluas 202 hektar itu akan dibuat secara berperingkat dan akan diperincikan serta dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Rabu ini.
“Kerajaan negeri kini dalam proses menyelesaikan isu tanah di lokasi baharu termasuk mendapatkan kelulusan kebenaran merancang (KM) daripada pihak berkuasa tempatan (PBT). Selepas itu, semua penternak akan dipanggil bagi memperincikan syarat ketat operasi dan menentukan jumlah sebenar ternakan.
“Berdasarkan statistik, terdapat 115 ladang dikenal pasti di Kuala Langat dan Sepang melibatkan 100,000 ternakan babi. Pemindahan akan dilakukan secepat mungkin tahun ini,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya, di sini hari ini.
Menurut Izham, langkah itu dibuat selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selain menangani isu pencemaran bau dan air selain wabak demam babi Afrika (ASF).
Justeru, kerajaan negeri kelak tidak lagi membenarkan operasi ladang babi diteruskan walaupun secara sementara di Kuala Langat dan Sepang selain tiada pembaharuan lesen.
“Bukit Tagar dikenal pasti satu-satunya lokasi baharu bagi ternakan itu di Selangor dengan syarat ketat termasuk zon penampan luas, sistem tertutup dan kaedah pelepasan sifar.
“Lokasi di tanah milik persendirian itu terletak di kawasan jauh dari lokaliti penduduk dan sungai. Semua kos akan dibiayai oleh pihak swasta, bukannya kerajaan negeri,” ujarnya.
Tambahnya, Selangor tidak pernah menjadi pengeksport babi dan pengeluaran sedia ada hanya bagi memenuhi keperluan masyarakat bukan Islam di negeri ini.
“Sebelum wabak ASF, pengeluaran babi memenuhi 60 peratus keperluan negeri dan kini pengeluarannya berada sekitar 30 peratus. Kerajaan negeri akan teliti semula angka populasi maksimum ternakan bagi memastikan jumlahnya tidak melebihi keperluan sehingga membawa kepada eksport,” katanya.
Izham berkata, kerajaan negeri menjunjung kasih titah Sultan Selangor yang tidak berkenan operasi sementara ternakan di Kuala Langat diteruskan.
Terdahulu, Izham menghadap Sultan Sharafuddin di Istana Bukit Kayangan bagi menyembah maklum berkaitan isu ternakan babi selama 45 minit.
Kosmo! dalam laporan muka hadapannya hari ini melaporkan isu ternakan babi yang menghantui penduduk Tanjung Sepat berlarutan sejak sekian lama, namun didakwa kembali aktif kira-kira dua bulan lalu selepas berakhirnya jangkitan demam babi Afrika. – KOSMO! ONLINE














