NARATHIWAT, THAILAND – Pihak berkuasa Thailand menarik semula arahan penguatkuasaan perintah berkurung di seluruh Wilayah Narathiwat yang bermula pukul 9 malam hingga 5 pagi susulan insiden letupan bom yang berlaku secara serentak di 11 buah stesen minyak pada awal pagi semalam.
Sumber Pusat Perintah Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, penarikan perintah berkurung yang bermula hari ini dijalankan oleh Pasukan Petugas Khas Narathiwat selepas menilai situasi semasa tahap keselamatan di kawasan tersebut.
Menurutnya, sebelum ini, perintah berkurung sejak malam tadi di seluruh wilayah itu dikuatkuasakan mengikut Akta Undang-Undang Tentera 1914.
“Pelaksanaan perintah berkurung itu pada awalnya dijalankan apabila pihak berkuasa menilai situasi keselamatan susulan pengeboman ke atas 11 stesen minyak di Narathiwat, Yala dan Pattani awal pagi semalam.
“Perintah itu dilaksanakan selepas pasukan keselamatan menilai bahawa terdapat ancaman terhadap nyawa dan harta benda rakyat akibat pergolakan tidak terkawal.
“Pasukan Petugas Khas Narathiwat mendapati situasi terkini sudah kembali pulih dan keadaan keselamatan juga terkawal,” katanya.
Sumber itu memberitahu, penarikan perintah berkurung itu juga dibuat bagi mengurangkan kesusahan rakyat dalam kehidupan seharian mereka selain tidak mahu mengganggu ekonomi dan sektor pelancongan di wilayah ini.
Kali terakhir perintah berkurung 24 jam dijalankan di Narathiwat pada Februari 2013 selepas pasukan pemberontak menyerang pangkalan operasi Pasukan Petugas Khas 32 Narathiwat di Daerah Bacho.
Kosmo! Online semalam melaporkan, sebanyak 11 buah stesen minyak di tiga Wilayah Selatan Thailand iaitu Yala, Pattani dan Narathiwat, di sini digegarkan dengan letupan bom yang berlaku secara serentak pada awal pagi semalam.
Sumber ISOC 4 berkata, serangan bom berlaku kira-kira pukul 1.04 pagi itu melibatkan lima stesen minyak PPT di Narathiwat, empat buah di Yala dan dua lagi stesen minyak di Pattani.
Susulan daripada kejadian itu, Thailand menguatkuasakan perintah berkurung serta-merta bermula semalam di Wilayah Narathiwat.
Komander Pasukan Petugas Narathiwat, Mejar Jeneral Yodawud Puengpak berkata perintah berkurung itu berkuat kuasa serta-merta sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak dan melarang penduduk meninggalkan rumah dari pukul 9 malam hingga 5 pagi. – KOSMO! ONLINE














