PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan melengkapkan siasatan berhubung salah guna dana perolehan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam tempoh seminggu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya telah selesai merakam percakapan pegawai tertinggi ATM pada hari ini dan beliau dilepaskan kira-kira pukul 5 petang tadi.
Menurut beliau, proses siasatan sedang berjalan dan sebarang perkembangan lanjut berhubung kes tersebut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
“SPRM telah selesai merakam percakapan pegawai tertinggi ATM berkenaan untuk hari ini dan beliau telah dilepaskan pada jam lebih kurang pukul 5 petang.
“SPRM akan melengkapkan siasatan dalam tempoh seminggu dan sebarang kemas kini mengenai siasatan kes ini akan dimaklumkan kemudian dari semasa ke semasa,” katanya hari ini.
Semalam, pegawai berkenaan dilaporkan dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya bagi membantu siasatan dan dipanggil semula pagi ini untuk meneruskan proses rakaman keterangan.
Difahamkan, pegawai ATM dalam lingkungan usia 60-an itu hadir ke SPRM sejak pagi bagi memberi keterangan berhubung siasatan yang sedang dijalankan. – KOSMO! ONLINE














