PETALING JAYA – Seorang wanita menempuh detik cemas apabila seorang individu memasuki kawasan rumahnya dan berpura-pura membawa karpet dalam kejadian, baru-baru ini.
Menerusi hantaran pengguna Threads @Zfqsri, rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan lelaki itu datang dengan menunggang motosikal sebelum meninjau keadaan rumah.
“Tolong hati-hati (mereka) yang duduk di Beranang atau Semenyih. Tadi ada seorang lelaki suka hati buka pagar dan masuk kawasan rumah saya. Pura-pura seperti bawa barang, tapi mata melilau macam mencari sesuatu.
“Sebelum ini, ada kes seorang perempuan bawa tong sampah keliling lorong, tetapi kutip barang penghantaran (bungkusan) jiran,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, orang ramai menggesa wanita itu membuat laporan polis selain menasihatinya supaya berhati-hati.
“Kalau awak ada di rumah pun, tolong kunci pagar. Kalau dah berlaku macam ini, tak mustahil esok lusa dia datang bawa kawan pula,” pesan @Im_joyfulls.
“Dia tengah periksa rumah awak. Esok lusa dia cari peluang nak ceroboh pula. sila buat laporan polis,” cadang @Quail.481.
“Lelaki itu tengah periksa rumah awak dengan berlakon bawa karpet. Dia nak tengok jenis pagar dan kunci yang awak pakai. Nak tengok ada orang ke tak di dalam rumah pada waktu tengah hari,” kata @Risyam_khairi. – KOSMO! ONLINE














