KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (Mindef) menegaskan budaya tidak bermoral seperti ‘yeye’ dan hiburan melampaui batas sudah lama diharamkan di semua kem-kem tentera.
Ini kerana kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, budaya itu bukan sahaja bercanggah dengan ajaran islam, bahkan meruntuhkan moral pasukan beruniform itu.
Jelas beliau, sekiranya perkara itu masih berlaku, mereka yang terbabit akan disingkirkan daripada perkhidmatan tanpa kompromi.
“Wanita tidak harus dijadikan objek seks dan hiburan di ‘mess’ pegawai dan Wisma Perwira. Panggillah dengan apa nama sekalipun, ‘yeye’, ‘yaya’ atau apa sahaja. Ia adalah perkara keji, tidak bermoral dan bercanggah dengan cara hidup islam.
“Kementerian Pertahanan dan ATM (Angkatan Tentera Malaysia) sememangnya sudah lama mengharamkan kegiatan yang tidak bersahsiah ini di semua kem di seluruh negara. Kita juga sudah menetapkan peraturan serta garis panduan yang jelas dan tegas berkaitan segala aktiviti sosial yang boleh diadakan di kem.
“Lebih-lebih lagi dengan penubuhan Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), yang sepatutnya membendung apa-apa unsur mungkar dalam kalangan anggota kita. Aktiviti-aktiviti haram dan tidak bermoral sebegini tidak sepatutnya berlaku lagi di mana-mana kem kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan, di Wisma Perwira di sini hari ini.-KOSMO! ONLINE














