fbpx
Hadiah istimewa dari Istana Diraja Pahang yang disampaikan buat pasangan pengantin baharu tersebut.

Selepas sampul kuning, terima hadiah istimewa dari Istana Pahang pula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pasangan pengantin yang sebelum ini tular selepas Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang berkenan mencemar duli bergambar serta menghulurkan sampul diraja kuning, sekali lagi mengundang perhatian ramai apabila menerima kurniaan hadiah daripada Baginda.

Menerusi hantaran terbaharu di akaun Thread @ShahAmirul, pasangan berkenaan meluahkan rasa terharu sambil merafakkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih atas perkenan dan kurniaan hadiah yang disifatkan amat bermakna.

“Sekali lagi Tuanku buat surprise… kira jadi lah eh ‘wedding of the years’. Patik merafakkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Tuanku atas perkenan dan kurniaan hadiah yang amat bermakna dan akan patik kenang sepanjang masa,” tulisnya.

Perkongsian itu turut disertakan dengan beberapa gambar menunjukkan hadiah yang diterima berupa kotak-kotak berbalut kemas beserta sebuah video memaparkan wakil istana yang datang menyerahkan barangan berkenaan.

Kosmo! sebelum ini melaporkan momen pasangan diraja Pahang menyantuni pasangan pengantin tersebut mencuri perhatian selepas rakaman dan foto dimuat naik di media sosial, memaparkan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan meluangkan masa bersama mereka di kawasan berhampiran istana.

Ketika itu, pasangan pengantin pada awalnya hanya melambai apabila kenderaan pasangan diraja melintasi lokasi penggambaran, namun rombongan berkenaan berhenti sebelum baginda berdua turun menyantuni mereka.

Malah, Tengku Ampuan Pahang turut dilihat menyerahkan sampul diraja berwarna kuning kepada pengantin perempuan yang dipercayai sebagai hadiah perkahwinan, sekali gus menambah rasa terharu pasangan itu.

Di ruangan komen, orang ramai sekali lagi membanjiri hantaran terbaharu itu dengan ucapan tahniah selain menyifatkan pasangan tersebut bertuah kerana menerima perhatian dan kurniaan yang jarang-jarang berlaku.

“Alhamdulillah rezeki sungguhlah! Dah lah dapat jumpa dan bergambar dengan bekas Agong dan Permaisuri Agong paling disayangi rakyat Malaysia! Dapat hadiah lagi! Jangan lupa ‘unboxing’,” komen Nursharif.

“Kita ni kalau dapat sampul pun dah gembira sangat lagikan dapat dalamnya. Selamat pengantin baru korang berdua Semoga sakinah mawaddah warohmah,” komen Che Anum pula. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN