fbpx
Muhammad Akmal bercakap pada media selepas proses mediasi di Mahkamah Ayer Keroh. Foto ARIF HAMIZAN MISKON/KOSMO!

Saman RM25 juta, Teresa-Akmal ‘lawan’ Februari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Kes saman fitnah Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok terhadap Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh akan dimulakan dengan perbicaraan selepas kedua-dua pihak gagal menyelesaikan isu berkenaan di Pusat Mediasi Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, hari ini.

Kes itu melibatkan surat tuntutan (LOD) ganti rugi berjumlah RM25 juta yang dikeluarkan Teresa kepada Dr. Muhamad Akmal susulan kenyataan dalam video di aplikasi sosial yang merujuknya secara langsung dan tidak langsung dengan gelaran jelik.

Peguam Teresa, Datuk Sankara Nair berkata, tiada sebarang penyelesaian dicapai antara anak guamnya selaku plaintif dengan Dr. Muhamad Akmal sebagai defendan di hadapan Timbalan Pendaftar Suzana Mokhtar.

Beliau menambah, susulan kegagalan mediasi, kes akan diteruskan dengan perbicaraan pada 12 dan 13 Februari 2025 di Mahkamah Tinggi di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Isa Aziz Ibrahim.

“Kita telah berbincang dengan pihak peguam dan Dr. Muhamad Akmal dan nampaknya kita tidak mencapai satu persetujuan di mediasi. Oleh itu, kita akan terus ke mahkamah untuk perbicaraan pada Februari nanti. Kita tak dapat kata gembira atau tidak kerana ini mediasi saja,” katanya ketika ditemui pemberita.

Sementara itu, Dr. Muhamad Akmal yang ditemani peguam Syahrul Sazwan Salehin dan Iqbal Harith Liang menyatakan kesediaannya untuk berhadapan perbicaraan berhubung kes berkenaan.

“Alhamdulillah, hari ini menghormati arahan mahkamah untuk mengadakan proses mediasi mengenai isu logo halal tetapi pertemuan ini tidak berjaya. Insya-Allah kita tunggu perbicaraan pada bulan Februari. Kita lawan Februari nanti,” katanya.

Mengulas hubungannya dengan kepimpinan DAP negeri, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri berkata, hubungan itu masih baik termasuk dengan Timbalan Pengerusinya, Low Chee Leong.

“Sangat baik. Kami boleh bekerja dengan baik. Tapi ada perkara-perkara sensitif yang perlu dihormati. Kita tak pernah keluarkan isu, hanya mempertahankan kenyataan,” ujarnya.

Terdahulu, Kosmo! pada 25 Oktober 2024 melaporkan Teresa Kok, ketika itu Naib Presiden DAP, memfailkan saman fitnah terhadap Dr. Muhamad Akmal berhubung isu sijil halal.

Kemelut antara mereka timbul selepas Teresa mendakwa pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan dilaksanakan secara paksa.

Ekoran itu, menerusi satu hantaran video di TikTok, Dr. Muhamad Akmal melabelkan Teresa sebagai ‘nyonya tua’ dan tidak sepatutnya mencampuri urusan agama Islam berkaitan pensijilan halal. Beliau turut meminta kerajaan menyediakan logo tidak halal untuk ditampal di dahi pemimpin DAP itu.

Teresa kemudian mengeluarkan LOD menuntut pampasan, ganti rugi am, teruk dan teladan terhadap Dr. Muhamad Akmal selain memohon injunksi untuk menghalang defendan daripada terus memfitnahnya serta relif lain yang difikirkan adil dan sesuai oleh mahkamah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI