JOHOR BAHRU – Polis mengesan satu rakaman video tular yang memaparkan seorang penunggang motosikal ditampar individu lain di sebuah stesen minyak di Taman Perling, di sini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintenden Azrol Anuar Nor berkata, video itu dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook ‘Komuniti Johor’ dan dipercayai berlaku pada pukul 6.50 petang, 11 Januari lalu.
“Siasatan awal mendapati individu terlibat dikenal pasti sebagai anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara dan sedang bercuti semasa kejadian berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu, namun mangsa telah dikenal pasti dan usaha untuk mengesannya sedang dilakukan bagi membantu siasatan.
“Polis memandang serius kesalahan atau salah laku yang melibatkan pegawai dan anggota polis. Oleh itu siasatan dalaman dibuka dan tindakan tegas akan diambil jika didapati berlaku pelanggaran undang-undang atau tatakelakuan yang ditetapkan,” katanya.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu dan diminta memberi kerjasama sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kejadian. Polis memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara telus, adil dan berintegriti.-KOSMO! ONLINE














