KUALA KANGSAR – Pasangan kembar mencuri tumpuan apabila menjadi antara 119 murid Tahun Satu yang memulakan hari pertama sesi persekolahan 2026 di Sekolah Kebangsaan Raja Perempuan Muzwin hari ini.
Ibu mereka, Roszalina Zainal Abididn, 44, berkata, anaknya, Dhia Naurah Khayra Mohd. Saiful dan Dhia Naurah Khayla masing-masing berusia tujuh tahun teruja untuk hadir ke sekolah meskipun perlu bangun seawal pagi.
“Hari ini kakaknya bangun sendiri dan dia kejutkan adiknya untuk mandi dan bersiap ke sekolah. Mereka tidak meragam, malah nampak bersemangat.
“Lagipun, dua beradik ini sudah biasa bangun pagi kerana sebelum ini saya hantar mereka ke pra sekolah,” katanya ketika ditemui di Kuala Kangsar hari ini.
Menurut ibu kepada enam cahaya mata itu, dia tidak begitu bimbang keadaan pasangan kembar tersebut kerana terdapat dua kakak mereka bersekolah di situ.
“Kalau risau pun, ia lebih kepada waktu rehat terutamanya mengenai keselamatan mereka ketika membeli makanan kerana saiz mereka yang kecil, takut tertolak dengan murid lain.
“Hari ini saya bekalkan mereka sarapan, dan untuk esok, saya berharap kakak-kakak dapat memantau adik-adik mereka semasa waktu rehat,” katanya. – KOSMO! ONLINE














