GOMBAK – Pemandu bas ekspres yang terlibat dalam nahas membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer (KM) 441.2, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan ditahan bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, lelaki itu ditahan semalam sebelum dibawa ke mahkamah dan dibenarkan direman selama satu hari bermula hari ini.
“Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Kosmo! melaporkan seorang penumpang bas meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sungai Buloh selepas terlibat dalam kemalangan dengan lori tiga tan dan motosikal di lebuh raya berkenaan.
Dalam kejadian pukul 5.24 pagi itu, bas ekspres tersebut membawa 42 penumpang termasuk dua pemandu bas. Seramai lima mangsa termasuk pemandu lori tersepit dan pihak bomba mengambil masa hampir tiga jam untuk mengeluarkan mereka disebabkan struktur pembahagi jalan menghimpit kaki mangsa.
Mangsa wanita pertama dikeluarkan pada pukul 6.06 pagi, manakala mangsa terakhir dibawa keluar pada pukul 8.53 pagi. – KOSMO! ONLINE














