PETALING JAYA – “Separuh abad, bukan tamat. Semoga dekad ini mencapai sempadan.”
Itu kata-kata daripada bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang sinonim dengan slogan kata ‘tall, dark and handsome’ setelah menginjak usia 50 tahun, pada Sabtu lalu.
Menerusi hantaran di Instagram, meluahkan rasa syukur sempena hari lahir yang ke-50 bukanlah penamat baginya, malah sebagai permulaan memasuki dekad baharu.
“Alhamdulillah, dengan rahmat Allah, saya memasuki dekad baharu. Apa sahaja yang bakal menimpa, sama ada puncak megah yang memerlukan kerendahan hati atau palung yang mendalam yang menuntut daya tahan, semuanya telah ditetapkan oleh-Nya.
“Tetapi Dia menyuruh kita berusaha. Kita hanya perlu melakukan yang terbaik. Dan biarkan Tuhan melakukan yang lain,” katanya.
Dalam satu perkongsian lain, Khairy Jamaluddin berseloroh bakal mencari sektor jabatan kerajaan selepas pencen seperti Jabatan Perkhidmatan Awam.
“Bila dah mencecah usia 50 tahun ni, saya pula nak cari jabatan kerajaan seperti bahagian pencen, Jabatan Perkhidmatan Awam,” katanya.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Arman Azha Abu Hanifah turut berkongsi di Threads, menyambut majlis sambutan hari kelahiran Khairy Jamaluddin, malam tadi.
Perkongsian tersebut meraih pelbagai reaksi termasuk rata-rata terkejut dengan penampilannya yang masih ‘muda’.
“Selamat hari lahir. Usia 50 tahun hanya 30 tahun versi baharu! Semoga terus berjaya di dunia dan akhirat,” komen @Ed.duane.
“Selamat hari lahir tuan! Semoga sentiasa sihat. Kami harap tuan akan menjadi ketua pemimpin suatu hari nanti,” komen @Mh4fizm. –KOSMO! ONLINE














