fbpx
Fadhlina bersama dengan murid SJKC Ladang Regent Elmina, Shah Alam. Foto SADDAM YUSOFF/KOSMO!

Kajian semula UPSR, PT3 mula tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Kajian semula berhubung pelaksanaan semula sistem peperiksaan negara melibatkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) akan dilakukan tahun ini sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, kementerian memerlukan sedikit masa untuk menjalankan kajian menyeluruh sebelum sebarang keputusan dibuat.

Menurutnya, mandat bagi kajian tersebut telah diberikan kepada Majlis Penasihat Pendidikan, selain pandangan di peringkat Kementerian Pendidikan (KPM) yang telah pun dikumpulkan.

“Bagi kita masa sedikit, sebab itu saya kata kita sedang kaji dan mandat itu telah berikan Majlis Penasihat Pendidikan.

“Kita akan laksanakan kajian pada tahun ini dan bentangkan kepada Jemaah Menteri secepat mungkin untuk pertimbangan selanjutnya,” katanya pada sidang akhbar pada majlis pembukaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) Ladang Regent Elmina di sini, hari ini.

Mengulas sama ada sistem pentaksiran semasa tidak mencukupi, Fadhlina menegaskan bahawa pentaksiran yang dilaksanakan ketika ini memberikan penumpuan kepada penilaian secara holistik.

“Yang kita hendak kaji adalah mendengar permintaan ibu bapa ( yang ingin dikembalikan UPSR dan PT3) dan apa yang telah kita laksanakan ketika ini.

“Sebab itu, saya sebut tadi beri masa sedikit dan kita beri penjelasan kepada masyarakat selepas kajian menyeluruh dilaksanakan dan dibentangkan kepada Jemaah Menteri,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan KPM akan mengkaji semula keperluan mewujudkan kembali Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) berikutan pengaktifan semula Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) tahun ini.

Untuk rekod, UPSR dimansuhkan pada 2021, manakala PT3 dimansuhkan pada 2022, sebelum kedua-duanya digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN