KUALA LUMPUR – Kegiatan pengedaran dadah dalam botol minuman yang dijalankan secara berterusan seolah-olah perniagaan kedai serbaneka 24 jam terbongkar selepas polis melancarkan tiga serbuan di sekitar ibu negara, Rabu lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, hasil risikan pihak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun yang juga pengedar pada pukul 12.55 tengah hari, Rabu lalu.
Katanya, pemeriksaan ke atas dua buah kenderaan dan kediaman masing-masing rumah teres dan kondominium di Jalan Kuching menemukan pelbagai jenis dadah bersama peralatan memproses dan pembungkusan berjumlah RM832,350.
“Dadah yang dirampas merangkumi cecair MDMA seberat 867 kilogram (kg) bernilai RM701,850, 5.5kg serbuk MDMA (RM37,800) dan 190 kartrij vape berisi cecair ketamin (RM57,000).
“Turut dirampas 306 batang rokok kanabis bernilai RM30,600, 21 gram (g) ketamin (RM4,200), 5.28g ekstasi (RM500) dan pil erimin 5 (RM400),” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Fadil berkata, sindiket itu menjadikan kediaman sebagai lokasi memproses dan menyimpan dadah bagi mengaburi mata pihak berkuasa dan aktif mengedar sejak tiga bulan lalu.
“Suspek direman selama tujuh hari bermula 8 Januari bagi membantu siasatan. Keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 3,768 penagih,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Beliau berkata, pihaknya turut menyita harta di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 bernilai RM146,507 melibatkan wang tunai dan dua buah kenderaan. Jumlah rampasan dan sitaan dianggarkan RM978,857.
Fadil menegaskan, kejayaan tersebut adalah hasil risikan berterusan JSJN IPK Kuala Lumpur serta kerjasama orang awam dan polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah.
“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah melalui talian hotline JSJN di 012-208 7222,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














